25,300 bakul makanan buat KIR Orang Asli

25,300 bakul makanan buat KIR Orang Asli

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang sedang mengagihkan 25,300 bakul makanan kepada ketua isi rumah (KIR) masyarakat Orang Asli di 328 penempatan di negeri ini.

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor (kanan)  bersama Ketua Unit, Hal Ehwal  Orang Asli Pejabat Menteri Besar Pahang, Dato’ Olian Abdullah mengagihkan bantuan kepada masyarakat Orang Asli Pos Lenjang

  Bantuan itu diperuntukkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 serta Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).

  Pengarahnya, Johari Alwi berkata, agihan bermula minggu lalu dilakukan secara berperingkat membabitkan semua kampung tradisional dan rancangan penempatan semula (RPS) seluruh negeri ini.

  Menurutnya, pejabat JAKOA daerah sudah mengagihkan lebih 700 bakul makanan kepada KIA masyarakat Orang Asli di beberapa penempatan di Lipis, Bera, Cameron Highlands, Maran dan Muadzam Shah.

  Katanya, penghantaran bantuan terpaksa dilakukan secara berperingkat kerana faktor kedudukan penempatan Orang Asli jauh di pendalaman. 

  “Saya memberi jaminan agihan bakul makanan akan dilakukan secepat mungkin dalam usaha meringankan beban masyarakat Orang Asli yang turut terkesan dengan pelaksanaan PKP 3.0 dan SSP.

  “Ramai Orang Asli kini tidak dapat bekerja dan memasarkan hasil hutan menyebabkan pendapatan mereka terputus, untuk keluar membeli barangan keperluan juga terbatas,” katanya, dihubungi, di sini, hari ini.

  Beliau berkata, sembilan jenis barangan yang dibekalkan seperti beras, minyak masak, tepung, gula, kicap, sardin, garam dan kicap. 

  Johari berkata, daerah Pekan menerima bantuan paling banyak iaitu 4,949 bakul diikuti Lipis (3,871), Rompin (2,663), Muadzam Shah (2,333), Cameron Highlands (2,201) dan Bera (2,177).

  Katanya, daerah Lipis mempunyai 67 penempatan Orang Asli diikuti 41 di Muadzam Shah, Bera (36), Pekan (33), Cameron Highlands (27) dan Rompin (25). 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *