Selamat tinggal PSM – YDP PSNP

Selamat tinggal PSM – YDP PSNP

Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar

KUANTAN: Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang (PSNP) mengesahkan menarik diri daripada menjadi ahli gabungan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berkuatkuasa hari ini.

  Yang Dipertuanya, Tengku Dato’ Muhamad Sultan Abu Bakar berkata, penarikan diri itu selepas mengikuti dan mengambil maklum perkembangan isu semasa yang membabitkan sukan takraw di negara ini.

  Justeru, katanya, selepas membuat pertimbangan sehabis baik, PSNP melalui keputusan Mesyuarat EXCO PNSP secara maya pada 29 Mei lalu memutuskan penarikan diri daripada ahli gabungan PSM berkuatkuasa serta merta.

  “PSNP berharap semua usaha yang digerakkan ke arah kebaikan sukan sepak takraw di dalam negara dan di persada antarabangsa haruslah diberi peluang dan sokongan demi kepentingan semua pihak.

  “PSNP setulus hati ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan PSM dalam memartabatkan sukan sepak takraw selama ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

  Ketika ini, antara persatuan yang menarik diri sebagai ahli gabungan PSM ialah Gabungan Sepaktakraw Kelantan (Gastak), Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (PESTAP), Persatuan Sepak Takraw Johor (PSJ).

  Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (PESTAK) dan Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT) juga mengambil langkah sedemikian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *