Pahang akan terus buru ‘lanun alam sekitar

Pahang akan terus buru ‘lanun alam sekitar

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk memastikan kelestarian alam sekitar tidak terus digugat dengan pelbagai aktiviti yang menyalahi undang-undang.

  Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha menyekat aktiviti yang menjejaskan alam sekitar akan terus dilakukan oleh agensi penguat kuasa disemua peringkat.

MUADZAM SHAH..kegiatan melombong emas secara haram dikesan berlaku di Hutan Simpan Ibam.

  Menurutnya, kegiatan melombong emas tanpa lesen misalnya, bukan sahaja menyebabkan berlakunya kejadian hakisan dan pencemaran sumber air tetapi turut menyebabkan kerugian hasil cukai yang sepatutnya kerajaan negeri terima.

MUADZAM SHAH..kawasan kegiatan melombong emas secara haram dikesan berlaku di Hutan Simpan Ibam.

  “Tindakan tegas perlu terus diambil terhadap pihak yang terbabit dengan aktiviti yang mengundang kepada pencemaran serta kemusnahan  alam sekitar, perbuatan mereka menimbulkan masalah pada banyak pihak.

  “Justeru, agensi penguat kuasa di semua peringkat perlu lebih peka dan aktif menyekat kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

  Beliau berkata demikian mengulas laporan kegiatan melombong emas secara haram di Hutan Simpan Ibam dekat Muadzam Shah yang disiarkan semalam.

  Laporan berkenaan menyiarkan kejayaan Operasi Bersepadu Lombong yang diadakan Unit Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Zon Timur dan Zon Barat dan Unit Tindakan Khas (UTK) Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (Unified) selama tiga hari.

 Operasi berkenaan membawa kepada penemuan kawasan melombong emas yang menggunakan kaedah lubang bagi mendapatkan tanah serta batu yang mengandungi emas, cara berkenaan dikatakan lebih memberi hasil lumayan.

  Bagaimanapun, usaha menahan warga asing yang melakukan kegiatan itu gagal kerana mereka terlebih dahulu mengesan kehadiran pihak penguat kuasa.

  Wan Rosdy berkata, dia memuji kesungguhan JPNP yang sentiasa berusaha membenteras aktiviti melombong emas tanpa lesen di negeri ini, khususnya di tiga daerah, Rompin, Raub dan Lipis, yang terbukti kaya dengan galian berharga itu.

  Katanya, Muadzam Shah, Lipis dan Raub perut buminya dianugerahkan dengan emas sejak dahulu lagi, faktor berkenaan mendorong pihak tidak bertanggungjawap menceroboh hutan semata-mata untuk melombong emas.

  “Saya berharap JPNP dapat terus mempergiatkan usaha menyekat kegiatan melombong emas tanpa lesen bagi menjaga alam sekitar seterusnya mengelak kerajaan kehilangan hasil setiap tahun.

  “Kerjasama antara agensi kerajaan perlu dipertingkatkan dalam memudahkan usaha mengesan aktiviti yang menyalahi undang-undang itu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *