Pemangku Raja Pahang saran aktiviti perlombongan Tasik Chini dihentikan, manakala kawasan Hutan Simpan Chini diperluaskan

Pemangku Raja Pahang saran aktiviti perlombongan Tasik Chini dihentikan, manakala kawasan Hutan Simpan Chini diperluaskan

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar

KUANTAN: KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menyarankan supaya aktiviti perlombongan di kawasan Tasik Chini dihentikan.

  Pengelola Bijaya Diraja KDYMM Sultan Pahang, Dato’ Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, baginda bertitah demikian selepas mengadakan lawatan mengejut di sekitar kawasan Tasik Chini, semalam.

KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

  “Baginda turut meneliti laporan dipersembahkan Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Roasdy Wan Ismail mengenai aktiviti perlombongan di kawasan berkenaan dan tindakan pemulihan serta pemeliharaan yang dijalankan Kerajaan Pahang.

  “Sehubungan itu, baginda bertitah supaya Kerajaan Pahang bersama-sama Kerajaan Persekutuan mengambil beberapa langkah mengikut bidang kuasa masing-masing. Baginda juga bersetuju dengan keputusan Kerajaan Pahang yang tidak lagi mengeluarkan kelulusan permohonan lesen baharu sejak 2019,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

  Ahmad Khirrizal berkata, Tengku Hassanal Ibrahim amat mengambil berat dan akan sentiasa memantau usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Pahang untuk memastikan alam sekitar di negeri ini sentiasa terjaga.

  “Tasik Chini adalah permata alam sekitar di bumi Pahang dan merupakan Tanah Rizab Biosfera Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang pertama di negara ini.

  “Justeru, pengiktirafan bertaraf dunia itu hendaklah dipertahankan,” katanya.

  Menurutnya, baginda turut menyeru semua pihak mengamalkan prinsip penjagaan alam sekitar, sosial dan urus tadbir yang baik supaya khazanah alam hari ini terus kekal dan dapat dinikmati generasi akan datang.

  “Maka, kawasan bekas lombong dipulihkan semua dengan penanaman pokok hutan yang bersesuaian. Selain itu, kawasan Hutan Simpan Chini sedia ada seluas 4,600 hektar perlu diluaskan kepada antara 6,000 hingga 7,000 hektar bagi menjaga kepentingan flora dan fauna di kawasan Tasik Chini dan sekitarnya.

  “Tasik Chini dapat diberi keutamaan dari sudut peruntukan kewangan dan pembangunan lestari oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Alam Sekitar dan Air berikutan statusnya sebagai tapak rizab biosfera UNESCO,” katanya.

  Katanya lagi, baginda turut bertitah dan berharap aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan Tasik Chini yang sedang dilaksanakan dipergiatkan oleh Kerajaan Pahang dan Kerajaan Persekutuan.

  “Justeru, baginda bertitah, semua pihak tanpa mengira latar belakang sama ada kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), termasuk penduduk setempat, perlu memainkan peranan untuk sama-sama menjaga kawasan Tasik Chini supaya keindahan flora dan fauna serta penempatan masyarakat Orang Asli yang terdapat di kawasan berkenaan terus terpelihara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *