Kerajaan Pahang menjunjung titah saranan KDYMM Pemangku Raja Pahang berkaitan pemuliharaan Tasik Chini

Kerajaan Pahang menjunjung titah saranan KDYMM Pemangku Raja Pahang berkaitan pemuliharaan Tasik Chini

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar

KUANTAN: Kerajaan Pahang akan membelanjakan RM10 juta untuk kerja penanaman semula hutan bagi tujuan pemuliharaan Tasik Chini.

  Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata peruntukan itu adalah tambahan bagi kerja penanaman semula yang sudah dilakukan sebelum ini. 

  Katanya, kerajaan negeri juga akan bertindak segera atas saranan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, terutama berkaitan peluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Chini daripada 4,600 hektar seperti diluluskan untuk pewartaan pada 13 Mac 2019, kepada antara 6,000 hingga 7,000 hektar.

  “Peluasan ini amat wajar untuk menambahkan lagi liputan kawasan hutan demi menjaga, memelihara dan memulihara mutu alam sekitar Tasik Chini yang mana luas badan airnya (water body) sahaja ialah antara 200 hektar dan 700 hektar menurut musim.

Menteri Besar Pahang Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail

  “Ia juga menepati kehendak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) membabitkan Tasik Chini Rizab Biosfera (TCRB) di bawah program ‘Man and Biosphere UNESCO,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

  Menurutnya, jabatan seperti Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) dan Jabatan Perhutanan Pahang, sudah diminta mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti kawasan tambahan bagi tujuan pewartaannya.

  “Ia (TCRB) berlandaskan tiga teras utama berkaitan pemuliharaan ekosistem termasuk spesis dan hidupan; sokongan logistik termasuk aktiviti penyelidikan dan pembelajaran serta pembangunan membabitkan ekonomi penduduk setempat. 

  “Bagi menjayakan ketiga-tiga teras utama ini, TCRB dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon Teras, Zon Penampan dan Zon Peralihan dengan fungsinya bebeza. 

  “Dengan keluasan maksimum kira-kira 7,000 hektar seperti dititah dan disarankan, ia sangat memadai bagi menjayakan TCRB secara lebih berkesan,” katanya.

  Semalam, Tengku Hassanal Ibrahim dilaporkan mahu supaya aktiviti perlombongan di kawasan Tasik Chini dihentikan dan kawasan bekas lombong dipulihkan semua dengan penanaman pokok hutan yang bersesuaian.

  Baginda turut bertitah supaya kawasan Hutan Simpan Chini sedia ada iaitu seluas 4,600 hektar perlu diluaskan kepada antara 6,000 hingga 7,000 hektar bagi menjaga kepentingan flora dan fauna di kawasan Tasik Chini dan sekitarnya.

  “Kerajaan negeri menjunjung kasih dan menjunjung titah atas titah dan saranan KDYMM Tuanku yang melambangkan keprihatinan tinggi baginda mengenai hal ehwal negeri termasuk berkaitan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar, apatah pula membabitkan Tasik Chini,” kata Wan Rosdy.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *