Pahang teramai di Pantai Timur daftar MySejahtera untuk PICK

Pahang teramai di Pantai Timur daftar MySejahtera untuk PICK


Helmy Abd Rahman helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Jumlah pendaftaran MySejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 (PICK) Kebangsaan di Pahang kini mencecah angka 645,521 atau 54.9 peratus daripada populasi. Angka itu menjadikan Pahang negeri teramai di Pantai Timur mendaftarkan diri bagi program itu.

Terengganu mencatatkan pendaftaran sebanyak 430,984 orang atau 53.31 peratus, manakala Kelantan sebanyak 561,631 atau 45.43 peratus. Berdasarkan perangkaan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV), setakat semalam, seramai 161,154 rakyat Pahang atau 13.7 peratus sudah divaksinasi. JKJAV juga memaklumkan, jumlah keseluruhan rakyat negara ini yang mendaftarkan diri untuk PICK kini sebanyal 14.64 juta atau 62.5 peratus.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang memaklumkan terdapat 54 kes jangkitan COVID-19 baharu dilaporkan sehingga 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif di Pahang sebanyak 11,818 kes. Kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 651 kes dan terdapat 152 kes sembuh harian dilaporkan. “Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh sebanyak 11,065 kes manakala jumlah kematian adalah 102 kes,” kata JKN Pahang. Sebanyak tujuh daerah iaitu Kuantan, Bentong,Temerloh, Jerantut, Lipis, Bera dan Maran berada dalam zon merah. “Rompin dan Cameron Highlands pula berada dalam zon oren manakala Raub dan Pekan (zon kuning). Tiada daerah dikategorikan zon hijau,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *