Persidangan Parlimen boleh ‘bersihkan’ nama Kerajaan PN

Persidangan Parlimen boleh ‘bersihkan’ nama Kerajaan PN


Husin Ibrahim fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar

KUANTAN: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh ‘menutup mulut’ sesetengah pihak yang mendakwa darurat yang dilaksanakan bukan beniat politik seandainya mereka membenarkan Parlimen kembali bersidang. Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) harus diadakan segera sebagai mekanisme semak dan imbang selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen di negara ini.

Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar bin Haji Shamsudin, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang.

Katanya, konsep semak dan imbang cukup penting bagi membolehkan setiap wakil rakyat mengimbangi kuasa eksekutif khususnya jemaah menteri terutama membabitkan soal perbelanjaan ketika negara sedang berdepan pandemik COVID-19. “Ketelusan dalam aspek perbelanjaan negara cukup penting kerana ia membabitkan wang rakyat, jadi menjadi peranan wakil rakyat di Parlimen dan DUN untuk menjadi semak dan imbang dalam perkara berkenaan. “Selain itu, dengan adanya sidang Parlimen nanti, ia membolehkan Kerajaan PN meleraikan cakap-cakap bahawa darurat ini adalah darurat politik semata-mata. “Malah, apabila Parlimen bersidang kelak, Kerajaan PN juga boleh membuktikan bahawa kerajaan ini mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan bukannya seperti dakwaan bahawa ia sudah pun tumbang,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini. Menurutnya, dalam negara demokrasi berparlimen, rakyat memerlukan kerajaan yang stabil dan kuat untuk memerintah negara terutama dalam menguruskan pandemik COVID-19.

Ahli DUN (ADUN) Lanchang itu berkata, apa yang dizahirkan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-raja Melayu supaya persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat, meletakkankedudukan institusi Raja-raja Melayu sebagai institusi paling dihormati dan menjadi harapan rakyat berbilang kaum. “Ia juga bukti intitusi diraja amat mengambil berat soal kelangsungan amalan demokrasi bagi memastikan wujud budaya semak dan imbang sebagai mekanisme penting untuk mengelakkan salah laku, ketirisan dan ketidakcekapan. “Saya menjunjung kasih dan mengalu-alukan serta mengucapkan tahniah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan juga Majlis raja-Raja Melayu atas pandangan yang dizahirkan itu,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *