Syabas orang Kuantan! Moh kita terus patuh SOP

Syabas orang Kuantan! Moh kita terus patuh SOP

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Warga Kuantan membuktikan mereka patuh kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 1 Jun lalu.

KUANTAN. Keadaan di Kuantan Art Street. Slug

  Pematuhan itu membabitkan sekatan di kawasan tumpuan ramai dan taman awam yang tidak dibenarkan dalam usaha memutuskan rantaian wabak pandemik COVID-19.

  Tinjauan di Kuantan Art Street, di sini,  hari ini, mendapati keadaan lengang di lokasi berkenaan yang sebelum ini sering menjadi tumpuan warga Kuantan.

Pemandangan Menara Kuantan 188, Kuantan

  Pemasangan pita larangan oleh Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) juga untuk memastikan Kuantan Art Street tidak dimasuki sekali gus memastikan tiada sebarang aktiviti di lokasi itu.

  Peniaga, Ahmad Ismail, 47 berkata dia memuji komitmen warga Kuantan yang patuh kepada larangan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

  “Diharapkan orang ramai turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP), terutama dari segi penjarakan fizikal dan mengimbas MySejahtera,” katanya.

  Berdasarkan statistik, sejak pemasyhuran Kuantan sebagai bandar raya 21 Februari lalu, lebih 50,000 orang mengunjungi Kuantan Art Street.

  Ia terletak di laluan lorong belakang Jalan Mahkota dan Jalan Besar, yang sebelum ini suram. 

  Kuantan Art Street dihiasi 36 lakaran lukisan mural berkaitan identiti negeri Pahang.

  Antara lukisan mural itu ialah potret penyanyi terkenal Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, pantai Cherating, rama-rama, kerbau di pantai Beserah, naga, penjual permaidani, peniaga burger, tukang gunting dan permainan tradisional.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *