Hadiah Hari Bapa paling best!

Hadiah Hari Bapa paling best!

Izzah Yusoff

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar ihsan Facebook

KUANTAN: Gugur air mata seorang bapa tatkala menerima video ucapan Hari Bapa yang dibuat isterinya bersama lima anak mereka.

  Muhammad Hamka Embong, 44, nyata terharu dengan video berkenaan, apatah lagi ia turut memuatkan rakaman anaknya, Muhammad Iman, 8, yang juga pengidap autisme.

  Video berkenaan hasil tangan isterinya sendiri, Nurhaniza Ismail, 41, bersama anak Muhammad Haiqal, 18; Muhammad Adha, 16; Najiha, 15; Muhammad Hazkil, 13, dan Muhammad Iman.

  “Semalam saya ada urusan keluar kawasan rentas daerah (dengan kebenaran polis). Bila balik rumah, mereka kejutkan saya dengan video ini, berkaca juga mata lelaki ini bersyukur atas nikmat anak anak.

  “Sungguh saya dikurnia nikmat yang banyak, ada anak lelaki, perempuan, ada anak OKU (orang kelainan upaya), lengkap semua…Alhamdulillah. Ini hadiah Hari Bapa paling best (terbaik) pernah saya terima seumur hidup ini,” katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.

  Dia kemudian memuat naik video berdurasi lebih lima minit itu di Facebook dan Youtube.

  Video berkenaan mendapat sambutan ramai yang memberikan kata pujian dan semangat kepadanya serta keluarga.

  Muhammad Hamka yang berjawatan Penolong Pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) turut berkongsi tips kepada warganet idea kandungan video yang boleh dihadiahkan kepada bapa masing-masing.  

  “Jadi kepada mereka yang masih ada bapa, cuba korang adik beradik buat rakam jawapan untuk soalan ini, kenapa saya sayang ayah? Apa kenangan terindah bersama ayah? Kenapa kena marah dengan ayah? Apa hadiah hari jadi paling best? Bila kali terkahir cakap ‘I love you’ (saya sayang kamu) kepada ayah? Ada apa nak pesan dekat (kepada) ayah? Sebelum diakhiri ucapan selamat hari bapa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *