Sidang Parlimen perlu disegerakan untuk mencari penyelesaian buat rakyat

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kerajaan tidak perlu takut mengadakan persidang Parlimen kerana keutamaan sekarang adalah mencari penyelesaian pandemik COVID-19 dan pemulihan ekonomi negara.

  Pengerusi Barisan Nasional (BN) Indera Mahkota, Dato’ Mustaffar Kamal Ab Hamid, berkata tidak timbul mengenai isu undi tidak percaya sekiranya Parlimen dibuka kerana ia bukan keutamaan dalam keadaan sekarang.

  “Dalam persidang Parlimen, wakil rakyat dapat berbincang dengan lebih efektif mengenai langkah proaktif kerajaan memerangi COVID-19 kerana rakyat perlu tahu,” katanya. 

  Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengagihkan sumbangan barangan keperluan daripada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, di Balok, di sini, hari ini.

KUANTAN 20 JUN 2021. Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Dato Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang COVID-19. FIKRAH PAHANG/Mustaffa Kamal

  Mustaffar Kamal turut menjunjung kasih titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja yang mencadangkan agar Proklamasi Darurat yang dikuatkuasakan sejak 14 Januari lalu, tidak disambung selepas 1 Ogos depan.

  Katanya, keputusan itu juga sangat jelas menunjukkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap keresahan rakyat ketika ini.

  “Apabila Seri Paduka Baginda bertitah Parlimen perlu bersidang secepat mungkin, maknanya ia perlu disegerakan. 

  “Bukanlah nak tunggu sehingga September atau Oktober baru nak buat. 

  “Kalau ada yang terfikir untuk mengemukakan usul undi tidak percaya, saya rasa itu tindakan mementingkan diri sendiri sedangkan Seri Paduka Baginda meminta Parlimen bersidang untuk membincangkan hal berkaitan COVID-19, termasuk mempercepatkan pengagihan vaksin serta pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *