Berkat bantu rakan lain belajar

Berkat bantu rakan lain belajar

Helmy Abd Rahman dan Izzah Yusoff

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar Mustaffa Kamal

KUANTAN: Keikhlasan mereka menolong rakan lain dalam pembelajaran ternyata membawa keberkatan buat Hasyiem Yusof dan Aisyah Abdul Wahab apabila kedua-duanya memperoleh mumtaz saffi iaitu pencapaian 10 A+ untuk semua 10 matapelajaran yang diambil dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020.

Pelajar terbaik,  Hasyiem Yusof dari Kuliyah Al Lughah Waddin As Sultan Abu Bakar Pekan yang menerima sijil penghargaan dan cenderahati dari Menteri Besar Pahang berikutan kejayaan mereka dalam peperiksaan STAM 2020. FIKRAH PAHANG/Mustaffa Kamal

  Malah, Hasyiem dan Aisyah yang masing-masing kini berusia 19 tahun, menganggap pertolongan yang diberikan tatkala rakan-rakan meminta bantuan dalam pelajaran menjadi antara faktor utama membolehkan mereka cemerlang dalam STAM.

  “Apabila kita tolong ajar rakan lain untuk faham dalam pelajaran, ia lebih memudahkan saya sendiri untuk mengingati apa yang sudah diajar,” kata Hasyiem yang berasal dari Pasir Panjang, Pekan.

  Bekas pelajar Kulliah Al-Lughah Waddin As Sultan Abu Bakar, Pekan itu berkata, kejayaan itu juga hadiah terbaik untuk emaknya yang bertungkus-lumus membesarkan dia dan tiga adik-beradik yang lain selepas bapa mereka meninggal dunia sejak 2008.

  “Mak cuma mengambil upah menjahit tapi dengan duit itulah dia membesarkan saya dan adik-beradik lain selepas arwah ayah menemui Ilahi.

Aisyah Abdul Wahab cemerlang dalam peperiksaan  STAM 2020 FIKRAH PAHANG/Mustaffa Kamal

  “Alhamdulillah, saya dapat bantuan Zakat Hafazan al-Quran sebanyak RM3,600 setahun sejak tingkatan tiga daripada Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) kerana hafal 30 juzuk al-Quran, jadi tidaklah terlalu menyusahkan keluarga,” kata anak ketiga daripada empat beradik itu. 

  Bagi Aisyah yang sebelum ini belajar di Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Maarif, Bukit Goh di sini, selain membantu mengajar rakan lain dalam pelajaran, dia mengamalkan bacaan ayat seribu dinar setiap hari.

  “Selain itu, pihak sekolah memang memainkan peranan yang tinggi. Guru-guru banyak sangat menyumbangkan ilmu kepada kami pelajar-pelajar STAM seperti dalam enam bulan sebelum peperiksaan sebenar berlangsung kami telah diberi dengan pelbagai seminar sama ada di dalam sekolah dan ada juga seminar dengan guru-guru di dalam Kuliah di Pekan.

  “Waktu itu kami masih pergi ke sekolah dan ada juga guru daripada luar mengajar kami. 

  “Sekolah saya menggandakan lagi kelas pagi, petang dan malam dan tambah dengan seminar. Ini salah satu inisiatif yang amat membantu kami,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *