Penduduk Kampung Gumum berkawal 12 jam sehari elak penularan COVID-19

Penduduk Kampung Gumum berkawal 12 jam sehari elak penularan COVID-19

Hafiz Awang

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

PEKAN: Bukan cakap kosong, sebaliknya penduduk Orang Asli di Kampung Gumum, Chini, dekat sini serius menjaga kampung mereka daripada dimasuki orang luar dan sanggup berkawal 12 jam sehari meskipun tidak mendapat sebarang bayaran.

PEKAN 23 JUNE 2021. Pemuda Orang Asli suku Jakun, Navin K Paramanantham 28 (kiri) dan Nurfakkerul Lim Bung Kiang 17 menggunakan alat membaca suhu kepada penduduk kampung yang ingin keluar dan masuk ke kampung Orang Asli Gumum, ketika sekatan pergerakan penuh bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19.

  Malah, penduduk suku Jakun itu juga mewajibkan sesiapa sahaja yang memasuki kampung mereka untuk mengimbas kod QR MySejahtera selain merekodkan suhu sebelum dibenarkan masuk ke kampung itu.

  Penduduk juga memasang palang, sepanduk amaran bagi mengingatkan orang luar supaya tidak berkunjung ke kampung itu seandainya tiada urusan penting.

PEKAN 23 JUNE 2021. Pemuda Orang Asli suku Jakun, Navin K Paramanantham 28  dan Nurfakkerul Lim Bung Kiang 17 ketika mengawal jalanraya ke Kampung Orang Asli Gumum ketika wabak pandemik Covid-19.

  Navin K Paramnamtham, 28, berkata, sudah menjadi tanggungjawab mereka pemuda kampung untuk mengawal jalan masuk ke kampung itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lalu. 

  “Kami berkawal setiap hari bermula jam lapan pagi hingga lapan malam. Walaupun tidak mendapat upah daripada mana-mana pihak, penduduk kampung sering memberi biskut, roti dan makanan lain kepada kami sebagai upah dan itupun sudah memadai dan menggembirakan kami.

PEKAN 23 JUNE 2021. Papan tanda yang tidak mmebenarkan orang luar supaya tidak memasuki kampung Orang Asli Gumum ketika wabak pandemik Covid-19.

  “Sekatan ini dilakukan demi keselamatan penduduk kampung berikutan terdapat peningkatan bilangan kes positif di beberapa kawasan sekitar Pekan,” katanya yng ditemani rakannya, Nurfakkerul Lim Bung Kiang, 17. 

  Difahamkan, terdapat  beberapa kampung Orang Asli yang menggunakan jalan berkenaan, iaitu Kampung Cendahan, Kampung Gumum, Kampung Melai dan kampung Ulu Gumum.

  Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi, sebelum ini dilaporkan berkata, inisiatif penduduk menyediakan penghadang jalan itu bagi mencegah penularan COVID-19 di kampung berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *