Janganlah marah-marah abang, kakak…kami cuma ingin membantu

Janganlah marah-marah abang, kakak…kami cuma ingin membantu

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Penerima dan pengiring meningggikan suara adalah antara cabaran yang perlu dihadapi sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Wisma Belia Kuantan, di sini. 

Penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Amirul Hanzah, 24, berkata dia menyertai program Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) dan dipanggil bertugas sebelum fasa dua program imunasi kebangsaaan dilaksanakan. 

“Sebagai sukarelawan, kami dikehendaki mengendalikan kaunter hadapan iaitu membantu penerima yang berkerusi roda, menyediakan borang dan memberi penerangan kepada penerima serta pengiring,” katanya.

Berkongsi pengalamannya sebagai sukarelawan di PPV berkenaan, Amirul mengakui kejadian penerima dan pengiring meninggikan suara berlaku hampir setiap hari.

“Kadangkala kami dimarah kerana sebab kecil seperti penerima tidak dapat borang atau tiada tempat duduk untuk menunggu,” katanya ketika ditemui di PPV berkenaan, semalam.

Menurutnya, ada juga pengiring menyalahkan sukarelawan apabila mereka tidak dibenarkan masuk menemani penerima.

Rakannya, Haziq Imas, 23, pula berkata: “Pernah berlaku penerima terlepas tarikh untuk divaksin. 

“Apabila mereka datang dan tidak dibenarkan untuk masuk, mereka menyalahkan sukarelawan.” 

Sementara itu, sukarelawan, Razif Mohammad, 38, berkata, dia berharap penerima dan pengiring tidak mudah melatah jika terdapat kekurangan di kalangan mereka. 

“Setiap orang perlu bertimbang rasa dan berlapang dada dengan kemudahan yang ada. Kami di sini (PPV Wisma Belia) hanya ingin membantu,” katanya.

Bagaimanapun, tinjauan maklum balas penerima terhadap sukarelawan mendapati, rata-rata mereka berpuas hati dengan khidmat dan layanan yang diterima.

Penerima vaksin, Norehan Mohammad Nasir, 75, berkata dia sangat berpuas hati dengan layan dan bantuan yang diberikan oleh sukarelawan ketika dia menjalani proses vaksinasi.

“Saya tiba di PPV kira-kira 12 tengah hari. Sukarelawan terus datang bertanya dan menolak saya, membantu menguruskan pendaftaran dan seterusnya mengiring sehingga selesai urusan. 

“Saya sangat berterima kasih kepada sukarelawan yang banyak membantu kerana jika tiada mereka susah juga, terutama apabila anak tidak dapat menemani,” katanya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *