Menteri Besar puas hati progres pelaksanaan projek jalan baharu Kampung Mat Daling-Kampung Pasir Raja

Menteri Besar puas hati progres pelaksanaan projek jalan baharu Kampung Mat Daling-Kampung Pasir Raja

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar arkib

KUANTAN: Perjalanan antara Pahang dan Terengganu akan menjadi lebih mudah, cepat dan selesa apabila Jalan Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun, Terengganu, ke Kampung Mat Daling, Jerantut, yang sedang dalam perancangan siap nanti.

  Laluan itu adalah dua fasa terakhir di bawah perancangan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi melengkapkan jalan luar bandar antara kampung dari Jerantut ke Dungun. 

  Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata mengikut perancangan, laluan itu membabitkan pembinaan jalan sepanjang 52.55 kilometer (km), dengan 40km daripadanya adalah dari sempadan Pahang/Terengganu hingga ke Kampung Mat Daling. 

  “Pada Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri yang saya pengerusikan, semalam, saya mendengar dan berpuas hati dengan taklimat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang mengenai projek pembinaan jalan luar bandar di negeri ini. 

  “Ia adalah sebahagian daripada projek sambungan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) (2016 – 2020) sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

  Difahamkan, jalan baharu itu menyediakan laluan dua lorong (single carriageway) dengan lebar 6.5 meter dan berturap, membabitkan pembinaan 12 jambatan yang mana 10 daripadanya antara sempadan Pahang/Terengganu dan Kampung Mat Daling. 

  Wan Rosdy berkata, status pelaksanaan terkini adalah pada peringkat perolehan termasuk rundingan mengenai kos sebelum dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MoF) untuk keputusan. 

  “Diharapkan, projek ini menjalani proses lancar dan sebaik sahaja mendapat keputusan MoF, JKR dapat menggerakkan usaha untuk memula serta menyiapkannya dalam tempoh ditetapkan demi manfaat rakyat, Insya-Allah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *