Tunggu durian Pahang gugur Ogos ini

Tunggu durian Pahang gugur Ogos ini

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Jumlah durian yang terhad dan permintaan tinggi menjadi faktor harga raja buah itu menjadi terlalu mahal, terutama durian klon.

  Selain itu, kos pengangkutan dan bayaran permit berniaga yang dikenakan turut mempengaruhi harga durian.

  Peniaga, Mohd Afaza Mazlan, 32 berkata setiap tahun harga semua jenis durian kampung dan klon akan tinggi, terutama pada peringkat awal buah gugur. 

KUANTAN ..Peniaga durian, Mohd Afaza Mazlan menunjukan durian jenis Musang King yang jual dengan harga RM25 hingga RM50 sekilogram di gerainya di Jalan Gambang-Kuantan dekat Sungai Isap.

  Menurutnya, sebagai contoh harga durian kini agak mahal kerana hanya semuanya datang dari Segamat dan Tangkak, di Johor. 

  Katanya, durian negeri lain seperti Pahang, Perak, Terengganu dan Kelantan masih belum gugur.

  “Saya yakin selepas ini harga durian akan turun apabila pengeluaran jumlah durian bertambah di pasaran. 

  “Saya difahamkan durian di beberapa daerah di Pahang seperti Jerantut, Raub, Bentong dan Lipis akan gugur serentak pada Ogos depan,” katanya, hari ini.

  Mohd Afaza berkata, dia menjual durian kampung antara RM8 hingga RM22 sekilogram (kg), musang king (RM25-RM50kg), IOI (RM30-RM35kg), udang merah (RM30kg), D13 (RM22-RM28kg) dan D88 (RM22kg).

KUANTAN …Durian sedia ulas jenis Musang King dalam bekas turut dijual.

  Sementara itu, peniaga, Asrol Hakimi Mohd Ariff, 33, pula berkata, kos pengangkutan, sewa tapak dan premit jualan turut mempengaruhi harga durian.

  “Faktor persaingan sengit untuk mendapatkan durian klon seperti musang king menyebabkan harga raja buah itu begitu tinggi. 

KUANTAN ..Peniaga durian, Mohd Afaza Mazlan (tengah) melayan pelanggan di gerainya di Jalan Gambang-Kuantan dekat Sungai Isap.

  “Malah, durian musang king juga kini dieksport ke Singapura dan China. Oleh itu, kekurangan durian jenis itu menyebabkan harganya mahal,” katanya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *