FAMA Pahang hulur bantuan kepada 300 penduduk kampung Ulu Dong

FAMA Pahang hulur bantuan kepada 300 penduduk kampung Ulu Dong

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Gambar Mohd Imran Izzad 

RAUB: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang hari ini mengambil inisiatif menyumbangkan pisang dan sayuran kepada 300 penduduk di tiga mukim di Ulu Dong, di sini, yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

KUANTAN..Ahli Dewan Undangan Negeri Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin (tengah) dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA, Mohamad Mustahapa Awang melihat hasil pertanian keluaran penduduk Ulu Dong selepas menyampaikan sumbangan pisang dan sayuran kepada penduduk oleh FAMA Pahang.

  Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin itu bertujuan meringankan beban masyarakat luar bandar di daerah ini.

  Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA, Mohamad Mustahapa Awang berkata, sumbangan membabitkan sebanyak 650 kilogram (kg) pisang berangan, timun (335kg), labu msnis (151kg) dan peria (100kg).

RAUB..Penduduk kampung Ulu Dong mengagihkan sayuran kepada penduduk yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0

  Katanya, sebahagian hasil tani yang disumbangkan kepada penduduk adalah produk keluaran petani di Ulu Dong yang terkenal dengan keluaran pisang berangan berkualiti tinggi untuk bekalan penduduk di negeri ini.

  “Program MAFI Prihatin antara usaha dilakukan FAMA di seluruh negara bagi membantu masyarakat di bandar dan luar bandar yang terkesan berikutan PKP 3.0 yang mana ada dalam kalangan mereka tidak dapat bekerja termasuk diberhentikan kerja,” katanya selepas menyampaikan sumbangan pisang dan sayuran kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin di Kampung Pamah Rawas, Ulu Dong, di sini hari ini.

RAUB..Pegawai FAMA melihat pisang yang disumbangkan kepada penduduk Ulu Dong.

  Hadir sama pada majlis itu, Pengarah FAMA Pahang, Noh Nik Wan.

  Mengulas lanjut, Mohamad Mustahapa berkata, program itu membabitkan sumbangan pelbagai jenis buah-buahan tempatan kepada binatang belaan di bawah selian Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

  “Sebagai contoh, minggu lalu FAMA Pahang menyumbang sebanyak 2.5 tan pisang nangka dan labu manis untuk makanan 32 gajah yang terdapat di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang, Temerloh.

KUANTAN.. Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA, Mohamad Mustahapa Awang (kanan) 
menyampaikan sumbangan hasil pertanian kepada penduduk Ulu Dong.

  “Sebelum itu mereka turut menyumbang lebih 2 tan pisang, nanas, keledek dan labu manis kepada empat individu yang terbabit dengan pembiakbakaan dalam kurungan komersial di bawah PERHILITAN Pahang di Temerloh, Pekan, Lipis dan Bentong yang memiliki pelbagai haiwan eksotik antaranya landak raya, rusa dan pelanduk,” katanya.

  Menurutnya, pekebun luar bandar yang berdepan masalah pemasaran hasil kebun mereka disebabkan PKP boleh berhubung terus dengan FAMA daerah dan negeri.

  Sementara itu Shahiruddin berkata, dia bagi pihak penduduk tiga kampung di Ulu Dong mengucapkan terima kasih kepada yang prihatin dengan kesulitan penduduk dan berharap bantuan itu dapat diteruskan dari semasa ke semasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *