Tioman bersedia untuk gelembung pelancongan sebaik dapat imuniti kelompok

Tioman bersedia untuk gelembung pelancongan sebaik dapat imuniti kelompok

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar arkib

TEMERLOH: Pulau Tioman bersedia untuk gelembung pelancongan sebaik proses memperoleh imuniti kelompok terhadap COVID-19 dicapai.

  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, situasi itu dapat disaksikan beberapa negara luar antaranya Australia dan New Zealand yang mampu mengembangkan sektor pelancongan dan sumber ekonomi berkaitan dengannya.

  “Selepas Langkawi, Pulau Tioman akan turut dipercepatkan proses vaksinasi bagi memastikan 80 peratus populasinya divaksin untuk mencapai imuniti kelompok.

  “Apabila status imuniti kelompok dicapai di Pulau Tioman, tentunya gelembung pelancongan dapat dilaksanakan di pusat peranginan berkenaan yang tentunya dapat mengimbangi kerugian sekali gus meningkatkan semula pendapatan mereka yang terjejas di kawasan pulau berkenaan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasminya, malam ini.

  Beliau berkata, langkah itu juga selaras pengumuman Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Nancy Shukri baru-baru ini supaya lebih banyak pihak terbabit dalam industri pelancongan dapat divaksinasi secara besar-besaran.

  “Ia bertepatan strategi utama pelancongan iaitu mengembalikan semula keyakinan rakyat untuk melancong sekali gus dapat menyemarakkan kembali sektor pelancongan domestik,” katanya.

  Menurutnya, dalam melaksanakan gelembung pelancongan, kerajaan negeri mempunyai kriteria ditetapkan antaranya pelancong yang ingin melancong sudah mengambil suntikan vaksin COVID-19 dan perlu melakukan ujian calitan. 

  “Pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat perlu dilaksanakan demi memastikan tidak berlaku penularan wabak pandemik covid-19 ketika aktiviti gelembung pelancongan dilaksanakan. 

  “Kita percaya apabila imuniti kelompok ini berjaya dicapai, bukan sahaja Pulau Tioman, malah lokasi pelancongan lain seperti Taman Negara Kuala Tahan di Jerantut, Cameron Highlands dan Genting Highlands serta Bukit Frazer kembali dibuka,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *