11 nelayan warga Vietnam ditahan sedang candat sotong

11 nelayan warga Vietnam ditahan sedang candat sotong

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Kerana inginkan hasil lumayan, dua tekong dan sembilan kru warga Vietnam bersama dua bot nelayan mencandat sotong di kawasan larangan 10 Batu Nautika Perairan Pekan dekat Kuala Pahang, semalam. 

   Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Abdullah Jaafar berkata, mereka yang ditahan berusia antara 23 hingga 49 tahun dan pihaknya turut merampas kira-kira 500 kilogram (kg) hasil tangkapan. 

  “Kehadiran dua bot itu disedari anggota Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) jabatan ketika sedang melakukan rondaan pada 5.15 pagi.

  “Dua bot bersama 11 kru warga Vietnam itu ditempatkan di Pangkalan CPS Jabatan Perikanan Pahang, Padang Lalang (di sini) sementara bot pukat tunda ditempatkan di jeti nelayan Endau untuk proses tindakan undang-undang,” katanya di sini, semalam.

  Beliau berkata, bagi kesalahan melanggar syarat lesen itu mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985, sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM20,000 atau penjara tidak melebih dua tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 25 akta yang sama.

  “Aktiviti menangkap sotong hanya dibenarkan di kawasan 12 batu nautika ke atas namun ketika ditahan dua bot milik rakyat tempatan itu berada dalam kawasan larangan,” katanya.

  Menurutnya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan nelayan yang melakukan kesalahan, tindakan tegas menanti mereka yang dianggap degil.

  “Semalam CPS menahan sebuat bot tempatan dengan hasil tangkapan 100kg ikan bersama seorang tekong dan empat awak-awak tempatan yang menangkap ikan menggunakan pukat tunda di kawasan tujuh batu nautika perairan Kuala Pontian, Endau Rompin.

  “Kita akan terus melakukan rondaan di perairan negeri ini untuk memastikan nelayan tidak  melanggar peraturan dan undang-undang sedia ada terutama membabitkan kawasan penangkapan dan kaedah penangkapan hasil laut,” katanya.

  Katanya lagi, pihaknya berharap nelayan tempatan dapat bekerjasama dengan memberi maklumat sekiranya terdapat aktiviti menangkap ikan yang melanggar peraturan.

  “Penggunaan peralatan moden oleh nelayan sepatutnya dapat membantu mereka mengesan kedudukan ikan di laut tetapi bukan dengan sesuka hati menangkap di kawasan larangan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *