Tujuh JKKK satu hati usahakan jawatankuasa khusus bantu penduduk Sungai Lembing

Tujuh JKKK satu hati usahakan jawatankuasa khusus bantu penduduk Sungai Lembing

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Menyedari kesulitan penduduk untuk proses vaksinasi COVID-19, pemimpin masyarakat Mukim Hulu Kuantan mengambil inisiatif menubuhkan Jawatankuasa Pendaftaran Imunisasi bagi mukim terbabit.

Penghulu Mukim Hulu Kuantan, Mohd Khairil Anuar Alwi, berkata peranan jawatankuasa terbabit adalah membantu kerajaan dalam proses pendaftaran penerima vaksin dan mengatur program vaksinasi khusus kepada penduduk sekitar Sungai Lembing.

“Melalui jawatankuasa ini kami menubuhkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dengan kerjasama Klinik Kesihatan Sungai Lembing.

“Sebelum ini, terdapat penduduk yang menerima vaksin di PPV di lokasi lain yang jaraknya lebih 40 kilometer dari Sungai Lembing.

“Ia sekali gus menyukarkan urusan mereka, terutama pemerima yang tiada pengangkutan. Melalui inisiatif ini, penduduk tidak perlu lagi pergi ke PPV lain untuk mendapatkan vaksin. 

“Malah di sini (PPV Klinik Kesihatan Sungai Lembing), kami menyediakan pengakutan untuk mereka,” katanya.

Menurutnya, pihaknya bekerjasama dengan pengusaha pelacongan di sekitar Sungai Lembing untuk menyediakan enam pacuan empat roda untuk mengambil dan menghantar penerima vaksin.

“Sehingga ini, 1,200 penduduk mendaftar melalui jawatankuasa ini dan 210 sudahpun menerima vaksin manakala 480 lagi akan menerimanya pada hujung minggu ini.

“Seramai 3,000 penduduk di kawasan ini yang layak menerima vaksin termasuk di kalangan Orang Asli dan kami sasarkan 80 peratus akan berdaftar melalui jawatankuasa ini,” katanya.

Tambahnya, jawatankuasa itu membabitkan tujuh Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) iaitu Kampung Melayu Sungai Lembing, Kuala Kenau, Kampung Orang Asli Sungai Mas, Kampung Jeram Takar, Kampung Sungai Rimau, Kampung Seberang dan Kampung Batu Enam Kolek.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *