Alhamdulillah, rakyat Pahang dapat lagi bantuan COVID-19 RM6.03 juta

Alhamdulillah, rakyat Pahang dapat lagi bantuan COVID-19 RM6.03 juta

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Lanjutan sumbangan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 secara bersasar Fasa 1 dan Fasa 2 bernilai RM17.1 juta sebelum ini, Kerajaan Pahang mengumumkan tambahan sebanyak RM6.03 juta untuk diagihkan kepada rakyat negeri ini menerusi BPP Fasa 3 pula. 

  Menteri Besar, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan itu disediakan dalam bentuk pengagihan bakul makanan merangkumi pelbagai bahan makanan keperluan harian kepada rakyat yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.  

  “Untuk Fasa 3 ini, tumpuan ialah kepada pelbagai golongan rakyat lagi termasuk kumpulan penjaja yang tidak berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agihan akan diuruskan agensi berkaitan. 

  “Turut menerima bantuan, nelayan berdaftar di Pahang dan operator serta pekerja kantin selain dewan makan asrama sekolah,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini. 

  Selain itu, beliau berkata, bantuan kali ini ialah tambahan kepada bantuan sama yang sudah disalurkan sebelum ini menerusi pusat-pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menampung keperluan mana-mana golongan atau individu yang sangat terkesan dengan COVID-19.

  Katanya, menerusi bantuan di bawah Fasa 3 selain Fasa 1 dan 2 sebelum ini bermakna, kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM23.13 juta menerusi BPP COVID-19 dalam tempoh PKP 3.0 yang bermula 12 Mei lalu.

  “Keputusan menambahkan lagi bantuan ini ialah kerana sikap mengambil kisah dan mengambil berat ke atas masalah rakyat hadapi khususnya yang terkesan teruk dengan COVID-19 serta arahan-arahan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendungnya.

  “Meskipun bantuan ini dianggap kecil bagi sesetengah pihak, namun kepada yang benar-benar terkesan, ia tentunya sesuatu yang melegakan dan kita bersyukur dapat membantu meringankan beban mereka. Bak kata perbilangan, sedikit tanda ingat, banyak tanda ada,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *