Bunga tak laku, 50 pengusaha tutup kebun

Bunga tak laku, 50 pengusaha tutup kebun

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pix Mohd Imran Izzad 

CAMERON HIGHLANDS: Tambang kapal terbang yang meningkat dua hingga tiga kali ganda untuk mengeksport bunga menyebabkan kurang-kurangnya 50 pekebun berskala kecil di daerah ini mengambil keputusan drastik menutup kebun masing-masing.

CAMERON HIGHLANDS..Pengerusi Persatuan Bunga Cameron Highlands, Lee Peng Fo.

  Walaupun permintaan bunga dari Singapura, Hong Kong, China, Australia dan Thailand  diterima sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, namun disebabkan kos pengangkutan meningkat, pekebun terpaksa bertindak melupakan sementara projek tanaman bunga untuk beralih kepada tanaman sayur.

  Pengerusi Persatuan Bunga Cameron Highlands, Lee Peng Fo berkata, pasaran pelbagai jenis bunga keluaran daerah ini sepanjang PKP 3.0 amat pelahan disebabkan tiada permintaan pengguna domestik.

  “Pekebun yang hanya bergantung dengan pasaran tempatan pastinya tidak dapat meneruskan projek tanaman bunga disebabkan tiada permintaan apabila semua majlis rasmi tidak boleh diadakan dalam tempoh yang panjang.

CAMERON HIGHLANDS…Seramai 50 pekebun bunga di Cameron Highlands terpaksa beralih menanam sayur apabila tidak dapat memasarkan bunga berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

  “Untuk memastikan pendapatan mereka tidak terus terputus, kebanyakan pekebun bunga kini menanam sayuran yang masih mendapat permintaan tinggi daripada pengguna,” katanya di sini, semalam.

  Menurutnya, pekebun yang mengusahakan tanaman bunga berskala besar sebelum ini terpaksa bertindak mengecilkan jumlah tanaman bagi mengelakkan kerugian sekiranya tidak dapat memasarkannya.

  “Bagaimanapun, bagi mereka yang memasarkan bunga ke luar negara, permintaan masih ada secara berterusan tetapi jumlahnya tidak banyak berbanding sebelum ini,” katanya.

CAMERON HIGHLANDS…. pekebun bunga di Cameron Highlands terpaksa beralih menanam sayur apabila tidak dapat memasarkan bunga berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.S

  Beliau berkata, terdapat lebih 200 pekebun bunga berskala kecil dan besar di Cameron Highlands, sebanyak 75 hingga 80 peratus pekebun memasarkan keluaran bunga mereka ke luar negara dan selebihnya tempatan.

  “Tahun lalu tempahan bunga banyak diterima daripada beberapa negara antaranya Singapura, Hong Kong, China, Australia dan Thailand, namun COVID-19 menyebabkan kos pengangkutan (kapal terbang) meningkat hingga memaksa pekebun membatalkan jualan,” katanya.

  Tambahnya, ramai pekebun bertindak membuang bunga keluaran kebun mereka sebelum ini apabila tidak dapat menjualnya.

  “Kos racun, baja dan peralatan yang semakin tinggi turut membebankan pekebun bunga hingga memaksa mereka beralih dengan menanam sayuran,” katanya.

   Difahamkan, permintaan membabitkan beberapa jenis bunga antaranya kekwa, matahari dan ros keluaran daerah ini  datang dari Jepun dan Thailand antara 20 hingga 25 peratus, diikuti Singapura (10-15 peratus), Hong Kong (lima peratus), China (dua peratus) dan Australia (2-3 peratus).

  Kebun bunga di daerah ini banyak terdapat Kampung Raja, Renglet, Lembah Bertam termasuk Lojing, Kelantan yang memasarkan semua hasil pertanian melalui Cameron Highlands.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *