PPV Dewan Semai Bakti ‘diserbu’ masyarakat DUN Chini

PPV Dewan Semai Bakti ‘diserbu’ masyarakat DUN Chini

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar Zulkepli Osman

PEKAN: Hari pertama pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Semai Bakti, Chini, dekat sini, menyaksikan sambutan baik penduduk sekitar termasuk masyarakat Orang Asli apabila jumlah yang datang hampir mencecah 500 orang.

  Malah terdapat segelintir daripada mereka datang ke PPV berkenaan tanpa temu janji dengan harapan mendapat suntikan.

PEKAN 01 JULAI 2021. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Chini, Mohd Shahrim Md Zain membantu menolak penerima warga emas di  Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Dewan Semai Bakti, Felda Chini 1. Fikrah Pahang/Zulkepli Osman

  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Mohd Shahrim Md Zain berkata, seramai 400 orang dijadualkan menerima suntikan vaksin di PPV terbabit hari ini.

  “Di Chini hari ini seramai 400 dijadualkan menerima vaksin dan pagi ini sahaja 200 yang hadir… kita jangka dappat capai sasaran suntikan untuk hari ini.

  “Ada juga yang datang walaupun tanpa temu janji kerana kurang faham dan ingat (beranggapan) boleh terima suntikan jika hadir terus. Pejabat Kesihatan Daerah bantu mereka ini mendaftar secara manual dan akan hubungi mereka semula untuk beritahu tarikh temu janji,” katanya.

  Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan hari pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi DUN Chini, hari ini. 

  Dalam perkembangan sama, Mohd Shahrim berkata, setakat ini seramai 10,000 masyarakat Chini sudah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin.

PEKAN 1 JULAI 2021. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Chini, Mohd Shahrim Md Zain menyumbang dua kerusi roda untuk kegunaan di  Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Dewan Semai Bakti, Felda Chini 1. Fikrah Pahang/Zulkepli Osman

  “Masih terdapat 8,000 lagi (belum berdaftar) dengan pecahannya mengikut lokaliti, tapi kita jangkakan jumlah ini (pendaftaran) akan bertambah selepas PPV di Dewan Semai Bakti ini dibuka.

  “Sebelum ini, masyarakat DUN Chini perlu hadir ke PPV yang terletak di Pekan yang mengambil masa sejam perjalanan untuk divaksin, menyebabkan ada antara penduduk yang tak daftar,” katanya.

  Selain itu katanya, terdapat juga penduduk terutama dari perkampungan Orang Asli yang tidak mempunyai akses untuk mendaftar sama ada menerusi aplikasi MySejahtera, mahupun Sistem Imunisasi COVID-19 Pahang (SICP).

  “Sungguhpun begitu, menerusi Program Outreach Vaksinasi (POV) COVID-19, sambutannya sangat tinggi apabila ada kampung Orang Asli yang mulanya hanya 35 nak divaksin tapi jumlahnya meningkat sampai 180 orang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *