Projek Bandar Aeroangkasa Pahang bernilai RM10.5 bilion bakal dibangunkan di Gebeng, tahun depan

Projek Bandar Aeroangkasa Pahang bernilai RM10.5 bilion bakal dibangunkan di Gebeng, tahun depan

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar hiasan

KUANTAN: Pahang bakal muncul antara pemain utama dalam industri aeroangkasa di rantau ini apabila Projek Bandar Aeroangkasa Pahang mula beroperasi menjelang 2026.

  Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM10.5 bilion itu, dirancang untuk dibangunkan mulai tahun depan di kawasan seluas 5,042 hektar di kawasan Gebeng, dekat sini.

  Beliau berkata, projek berimpak tinggi itu turut membabitkan pemindahan lapangan terbang sedia ada ke kawasan baharu dan seterusnya menyokong Rancangan Fizikal Negara ke-3 (RFN ke-3) iaitu sebagai bandar pembangunan transit nasional (udara, darat dan laut) secara bersepadu di Gebeng.

KUANTAN 01 JULAI 2021. Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU)  antara Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin  Ishak (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif PahangCorp, Mohd Khusaini  Harumaini  di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

  Katanya, projek berkenaan akan dilaksanakan secara inisiatif pembiayaan swasta (PFI) secara bersama syarikat berkaitan kerajaan negeri (S-GLC) iaitu Pahang Corporation Sdn Bhd (PahangCorp).

  “Projek Bandar Aeroangkasa Pahang ini apabila siap kelak akan menyediakan sebuah lapangan terbang antarabangsa dan juga hab perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan pesawat  (MRO) bertaraf dunia.

  “Bandar Aeroangkasa ini akan menyediakan tapak perindustrian berkaitan penerbangan (aviation related industries) yang mampu menarik minat syarikat-syarikat besar dalam industri pembinaan pesawat dan komponen pesawat,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang yang mewakili Kerajaan Pahang dengan PahangCorp di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

  PSK Pahang diwakili Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak manakala PahangCorp pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khusaini Harumaini.

  Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, pembinaan Bandar Aeroangkasa Pahang turut mengambil kira faktor hab ekonomi lain kerana ia terletak berhampiran kawasan industri Gebeng, Pelabuhan Kuantan dan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) selain menjadi pintu masuk utama ke negeri-negeri di Pantai Timur.

  Dalam pada itu, berliau berkata, menerusi pembukaan bandar itu kelak, Pahang dijangka memperoleh satu peratus atau RM150 bilion untuk jangka masa 20 tahun atau RM7.5 bilion setahun daripada nilai pasaran MRO Asia Pasifik yang dianggarkan berjumlah RM15 trilion bagi tempoh sama.

  “Ia juga akan menyediakan 50,000 peluang pekerjaan sama ada mmebabitkan sektor penerbangan atau bukan penerbangan. 

  “Saya berharap, perancangan untuk mewujudkan Bandar Aeroangkasa Pahang ini akan menjadikan Pahang pilihan utama pelabur untuk melabur di negara ini berdasarkan perkhidmatan yang disediakan nanti selain faktor geo-ekonomi yang strategik di Pantai Timur,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *