Kerajaan Pahang sumbang RM1.6 juta untuk dinikmati petugas masjid, guru agama dan SMAN

Kerajaan Pahang sumbang RM1.6 juta untuk dinikmati petugas masjid, guru agama dan SMAN

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar /video Mustaffa Kamal

KUANTAN: Kerajaan Pahang terus aktif untuk membantu pelbagai golongan masyarakat apabila membelanjakan sebanyak RM1.6 juta untuk diagihkan petugas masjid, guru agama dan sekolah menengah agama negeri (SMAN) Pahang.

  Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan itu diberikan kepada imam, bilal, siak rawatib, guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru tahfiz, guru madrasah dan pondok berdaftar serta pengurusan SMAN di negeri ini.

  “Kerajaan negeri hari ini menyumbangkan 13 van kepada pihak SMAN Pahang yang keseluruhannya berjumlah sekitar RM1.4 juta. Bantuan untuk van hari ini sebanyak RM1.4 juta, untuk bantuan lain lebih kurang RM200,000. Lebih kurang RM1.6 juta untuk hari ini.

  “Ini sebagai tanda ingatan kerajaan negeri dan untuk memudahkan sekolah-sekolah terbabit menjalankan aktiviti harian yang mana dengan van ini, banyak yang boleh dilakukan, sama ada untuk bawa anak-anak kita ke sana ke sini ataupun untuk mengambil barang,” katanya.

  Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Peruntukan Khas YAB Menteri Besar Pahang untuk Imam, Bilal, Siak Rawatib, Guru KAFA, Guru Tahfiz, Guru Madrasah dan Pondok Berdaftar dan Penyerahan 13 Buah Van Untuk 13 Buah SMAN Pahang Darul Makmur di Maahad Tahfiz Yayasan Pahang, di sini, hari ini.

  Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak; Pegawai Kewangan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Dr Zulkifli Ali Al-Hafiz.

  Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, Kerajaan Pahang turut memberikan bantuan kepada lebih kurang 1,000 guru agama di negeri ini membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM200,000.

  “Kita juga memberi bantuan kepada guru-guru agama seramai lebih 1,000 sebanyak RM200 seorang. Ini sebagai tanda ingatan kerajaan negeri kerana kita tahu mereka terjejas akibat COVID-19 dan pendapatan mereka merosot. Dengan itu bantuan ini diharap meringankan beban mereka,” katanya menambah, Kerajaan Pahang komited untuk terus menyediakan bantuan sebegitu secara berterusan bagi membantu pihak yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *