Pahang catat satu kluster baharu

Pahang catat satu kluster baharu

Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar hiasan

KUANTAN: Satu kluster baharu iaitu Kluster Jalan Songsang, Temerloh muncul di negeri ini membabitkan 15 individu yang disahkan positif COVID-19. 

  Pengarah Kesihatan Pahang, Dato’ Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah berkata, nama kluster berkenaan merujuk kepada alamat premis iaitu di Jalan Perindustrian Songsang yang mana disyaki berlakunya penularan di tempat kerja.

  Katanya, kes indeks bagi kluster berkenaan membabitkan seorang rakyat tempatan yang sudah menjalani ujian di sebuah klinik pada 28 Mei lalu kerana terdapat seorang pelanggan disahkan positif COVID-19.

  “Hasil saringan kontak rapat seterusnya mendapati seramai 10 lagi individu dikesan positif COVID-19 membabitkan kontak tempat kerja dan kontak keluarga. 

  “Sehubungan itu, seramai 114 individu disaring dalam kluster ini dan 15 kes dikesan positif COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

  Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 200 kes baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Pahang kini mencecah 14,390 kes. 

  “Berdasarkan jumlah kes baharu yang didaftarkan hari ini, sebanyak 188 kes membabitkan rakyat tempatan manakala 12 kes lagi warga asing.

  “Kes kematian baharu di Pahang hari ini adalah sebanyak lima kes menjadikan jumlah kumulatif kematian di negeri ini meningkat kepada 142 kes,” katanya.

  Menurutnya, semua daerah mencatatkan pertambahan kes dengan yang tertinggi tertinggi dicatatkan daerah ini iaitu sebanyak 100 kes, diikuti Temerloh (33 kes), Jerantut (30 kes), Maran (12 kes), Bentong (lapan kes), Raub (enam kes), Rompin (tiga kes), Cameron Highlands (tiga kes), Pekan (dua kes), Lipis (dua kes) dan Bera (satu kes). 

  “Sebanyak lapan daerah berada dalam zon merah iaitu daerah Bentong, Bera, Cameron Highlands, Jerantut, Kuantan, Lipis, Maran dan Temerloh manakala tiga daerah iaitu Raub, Rompin dan Pekan berada dalam zon kuning.

  “Setakat ini, sejumlah 1,846 kes positif COVID-19 sedang dirawat di lapan hospital di negeri ini dan empat buah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) manakala 217 kes berada dalam pengawasan di rumah,” katanya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *