Pelajar cemerlang STPM, Nur Maisara kini anak angkat ADUN Dong

Pelajar cemerlang STPM, Nur Maisara kini anak angkat ADUN Dong

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kecekalan Nur Maisara Abdul Malik yang muncul antara pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020, mendapat perhatian Dato’ Seri Shahiruddin Ab Moin.

Nur Maisara memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 

4.0 dalam STPM 2020 yang diumumkan kelmarin.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong itu turut menjadikan Nur Maisara yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong di Raub, sebagai anak angkatnya.

KUANTAN. Ahli Dewan Undangan Negeri Dong, Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin menyampaikan komputer riba kepada Nur Maisara Abdul Malik yang mendapat keputusan cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020.

Justeru, beliau berjanji untuk membantu Nur Maisara menyambung pengajiannya di menara gading.

“Sebenarnya saya sebak apabila dimaklumkan bahawa Nur Maisara tidak bercadang menyambung pengajian kerana ingin bekerja membantu keluarga yang hidup dalam serba kekurangan.

“Atas sebab itu, saya akan menjadikan Nur Maisara sebagai anak angkat saya kerana kegigihannya.

“Komputer riba yang diberikan adalah hadiah untuk memberi motivasi supaya terus cemerlang pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Pahang di bawah pimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail akan sentiasa prihatin dan membela nasib rakyat di negeri ini.

Kelmarin, Nur Maisara berhasrat untuk bekerja terlebih dahulu dan mengambil keputusan tidak terus menyambung pengajian ke menara gading.

“Memandangkan dua adik masih lagi bersekolah, saya harap dapat membantu meringankan beban keluarga dan selepas itu barulah fikir nak sambung pelajaran,” kata anak kedua daripada lima beradik itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *