Zamri bangga dapat perkenalkan Pahang menerusi lukisan

Mohd Imran Izzad

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar Mohd Imran Izzad 

JERANTUT: “Lukisan dengan tema tempat-tempat menarik di Pahang ini menjadi perjuangan saya untuk memperkenalkan negeri ini ke peringkat antarabangsa,” kata Zamri Ismail.

  Hasil tangan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Tawar, Jerantut berusia 53 tahun itu kini dikenali di serata negara luar menerusi lukisan yang dihasilkannya sejak beberapa tahun lalu.

  Malah katanya, hampir setiap tahun dia menyertai pertandingan dan pameran lukisan di beberapa negara ASEAN bersama pelukis-pelukis terkenal di rantau ini.

  Terbaru, Zamri berkata, dia baharu sahaja selesai menyertai pameran lukisan secara dalam talian yang turut di sertai 25 pelukis terkenal dari Bali dan Sumatera, Indonesia bagi mengumpul kutipan biasiswa siswa negara jiran itu.

KHUSYUK… Zamri sedang melukis karya lukisan bertemakan tempat menarik di Pahang

  “Pada pameran itu, saya paparkan dua lukisan cat air bertajuk ‘Burung Kuala Tahan 1 dan 2’ yang menceritakan kehidupan burung yang banyak terdapat di kawasan Kuala Tahan.

  “Saya puas dan bangga apabila dapat memperkenalkan Pahang menerusi lukisan yang dihasilkan dan ramai tertarik serta bertanya mengenai negeri ini apabila melihat lukisan saya,” katanya.

  Menurutnya, selepas ini dia sepatutnya menyertai Pameran Antarabangsa Gumum Tasik Chini bersama pelukis Singapura, Filipina, Vietnam, Indonesia dan Norway, namun terpaksa ditangguhkan ke tarikh yang akan ditetapkan semula disebabkan pandemik COVID-19.

Zamri Ismail bersama sebahagian lukisan yang memaparkan keindahan hutan di Pahang.

  “Selain mengadakan pameran, peserta akan menghasilkan lukisan keindahan Tasik Chini bertujuan membangkitkan semula kesedaran dan kepentingan menjaga kawasan itu yang tersimpan pelbagai cerita rakyat,” katanya yang menetap di Felda Kota Gelanggi 3, di sini. 

  Katanya lagi, sepanjang terbabit dengan seni tampak, banyak pengiktirafan membanggakan diterimanya, antaranya lukisan bertajuk ‘Suluhan Guru’ dijadikan gimik pelancaran hari guru peringkat Jerantut yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah pada 2016.

  Sementara itu Nazri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar berkata, dia berbangga dengan kesungguhan dan kemahiran yang ada pada Zamri dalam bidang seni lukis.

  “Saya berharap dia (Zamri) dapat meneruskan bakat seni yang dimiliki dan tidak lupa tanggungjawab terhadap usaha memberi kemahiran kepada pelajar.

  “Nilai seni lukis yang dihasilkan mempunyai kualiti tersendiri dan mampu melangkah lebih jauh,” katanya yang akan terus memberi sokongan terhadap kegiatan seni di daerah ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *