18 pekebun haram durian ditahan di HSK Batu Talam

18 pekebun haram durian ditahan di HSK Batu Talam

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

RAUB: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menahan 18 individu disyaki pekebun haram kerana memasuki kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, di sini, semalam.

Menerusi kenyataan media, semalam, JPNP memaklumkan individu terbabit juga membuat provokasi melampau terhadap kakitangan jabatan yang melakukan operasi penguatkuasaan bersama agensi kerajaan negeri di kawasan itu. 

Sebahagian daripada pekebun haram yang ditahan kerana memasuki Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam.

“Pekebun haram membuat halangan terhadap kenderaan untuk keluar dan masuk ke kawasan berkenaan.

“Hari ini (semalam), 18 orang disyaki pekebun haram ditahan kerana memasuki kawasan HSK tanpa kebenaran dan membuat provokasi melampau ke atas anggota jabatan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, semua 18 pekebun terbabit dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Raub untuk direman dan akan disiasat selanjutnya mengikut peruntukan Akta Perhutanan Negara. 

“Operasi ini bertumpu kepada tindakan memusnahkan semua durian yang ditanam secara haram di samping tangkapan ke atas mana-mana individu yang memasuki kawasan HSK tanpa kebenaran,” kata kenyataan JPNP.

Difahamkan, kawasan seluas lebih 100 hektar itu mempunyai pokok durian Musang King yang mula luruh dan mengeluarkan hasil.

Sebelum ini, tular di media sosial klip video bertajuk ‘Penceroboh Tanah Haram’ yang memaparkan pekebun menengking dan mencaci anggota kerajaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *