Dua lagi kluster baharu di Pahang

Dua lagi kluster baharu di Pahang

Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar hiasan

KUANTAN: Dua kluster tempat kerja menjadi kluster terbaharu dilaporkan hari ini di Pahang iaitu Kluster Industri Bentong 11/2 dan Kluster Industri Jerantut Feri.

  Pengarah Kesihatan Pahang, Dato’ Dr Bahari Dato’ Tok Muda Che Awang Ngah berkata, kedua-dua kluster itu mula dilaporkan pada 1 dan 4 Julai lalu dengan 15 individu disahkan positif.

  “Kluster Industri Bentong 11/2 mula dilaporkan pada 1 Julai lalu di daerah Bentong dan nama kluster ini merujuk kepada lokaliti tempat kerja indeks kes yang mana disyaki berlakunya penularan ketika kes indeks berkenaan berada di situ dan mempunyai kontak dengan rakan sekerja lain.

  “Kes indeks bagi kluster ini adalah lelaki rakyat tempatan yang juga pekerja di sebuah kilang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

  Menurutnya, individu terbabit yang mula mengalami gejala demam, hilang deria rasa dan bau, menjalani saringan pertama di klinik pada 28 Jun lalu sebelum nenjalani ujian lanjut di klinik kesihatan keesokan harinya.

  “Individu berkenaan disahkan positif dalam kedua-dua ujian berkenaan. Seramai 445 individu yang juga kontak rapat bagi kluster ini disaring dan sembilan kes disahkan positif COVID-19,” katanya.

  Sementara itu katanya, Kluster Industri Jerantut Feri mula dilaporkan pada 4 Julai lalu di daerah Jerantut dan nama kluster terbabit merujuk kepada lokaliti berlakunya penularan membabitkan pekerja di sebuah syarikat.

  “Kes indeks bagi kluster ini adalah lelaki rakyat tempatan yang tidak mempunyai sejarah penyakit. Individu berkenaan menjalani ujian saringan pada 2 Julai lalu kerana bergejala ringan iaitu demam, pening kepala dan batuk sehari sebelum itu dan kemudian disahkan positif COVID-19.

  “Hasil siasatan mendapati ramai kontak di tempat kerja kes juga bergejala dan telah disaring pada 3 Julai dan seramai 58 kontak rapat disaring serta enam kes disahkan positif COVID-19,” katanya.

  Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 312 kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di negeri ini mencecah 14,797 kes.

  “Dukacita dimaklumkan terdapat empat kes kematian baharu dilaporkan ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian di Pahang meningkat kepada 148 kes,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *