Giliran petugas masjid, guru agama dan SMAN di Kerdau nikmati Bantuan Peruntukan Khas YAB Menteri Besar Pahang

Giliran petugas masjid, guru agama dan SMAN di Kerdau nikmati Bantuan Peruntukan Khas YAB Menteri Besar Pahang

Zulkepli Osman

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar Zulkepli Osman

TEMERLOH: Seramai 83 daripada keseluruhan 194 bilal, siak rawatib, guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru tahfiz, guru madrasah dan pondok berdaftar serta pengurusan sekolah menengah agama negeri (SMAN) Pahang daerah Temerloh  menerima sumbangan disampaikan Kerajaan Pahang hari ini.

  Sumbangan di bawah Bantuan Peruntukan Khas YAB Menteri Besar Pahang untuk Imam, Bilal, Siak Rawatib, Guru KAFA, Guru Tahfiz, Guru Madrasah dan Pondok Berdaftar itu diadakan di Dataran Sri ketumbit, Kerdau, di sini.

  Penyerahan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad secara pandu lalu.  

  “Kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Menteri Besar (Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) memberi bantuan sebanyak RM200 seorang sebagai tanda ingatan kerana tahu mereka terjejas akibat COVID-19 dan pendapatan masing-masing merosot.

  “Dengan bantuan ini diharap dapat meringankan beban mereka dan Kerajaan Pahang komited untuk terus menyediakan bantuan sebegini secara berterusan bagi membantu pihak yang terjejas akibat pandemik ini,” katanya kepada Fikrah Pahang di sini, hari ini.

  Sementara itu, penerima, Mohd Safawi Mohd Zaid yang bertugas sebagai guru tahfiz al-Quran di Kompleks Tahfiz Al-Quran Al-Qaradhawi (KOMTAQ), Kerdau di sini berkata, dia sangat bersyukur apabila dimaklumkan layak menerima bantuan itu dan akan menggunakannya sebaik mungkin.

  “Terima kasih saya ucapkan kepada YAB Menteri Besar yang tidak jemu-jemu mengagihkan pelbagai bantuan kepada rakyat,” katanya.

  Baru-baru ini, Kerajaan Pahang membelanjakan sebanyak RM1.6 juta untuk diagihkan petugas masjid, guru agama dan SMAN Pahang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *