Gerak gempur vaksinasi di kawasan ‘hospot’ elak peningkatan jangkitan COVID-19

Gerak gempur vaksinasi di kawasan ‘hospot’ elak peningkatan jangkitan COVID-19

Oleh Muhammad Izz Zahin fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Gerak gempur program vaksinasi di Pahang akan dipertingkatkan pada fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN). Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata, pelaksanaan itu bagi mengelak kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 meningkat di negeri ini. Justeru, katanya, tumpuan di kawasan ‘hotspot’ akan diperhebatkan bagi tujuan menghijaukan kembali Pahang dengan segera.

“Tindakan kawalan segera dan ketat akan dilaksanakan bagi membendung penularan jangkitan supaya ia tidak terus menular ke kawasan lain. “Kerajaan negeri juga sentiasa bertindak pantas berhadapan dengan penularan kes positif COVID-19,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp, di sini. Menurut portal Harian Metro, Isnin, 5 Julai 2021,

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dipetik sebagai berkata, Pahang dan Putrajaya mencatatkan kadar Rt 1.17. Dr Noor Hisham berkata, walaupun data Rt di Pahang catat penurunan berbanding 1.24 sebelumnya, ia masih tinggi berbanding Rt negara iaitu 1.06. Menteri Besar berkata, program dan mesej peringatan juga sentiasa diberikan dari semasa ke semasa dan dirancang melalui Pasukan Khas Informasi COVID-19 Pahang.

“Segala bentuk mesej peringatan, poster, info bergerak dan sebaran media diselaraskan melalui pasukan khas ini. “Kerajaan negeri juga sentiasa memastikan semua kelonggaran sektor untuk beroperasi dipantau sepanjang masa dan diletakkan syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. “Selain itu, pemimpin masyarakat turut akan digembleng bersama untuk membantu pemantauan pematuhan SOP dan membantu pihak berkuasa sebagai ‘mata dan telinga’ bagi tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *