Pemuda UMNO dan UMMAH sokong ketegasan Kerajaan Pahang tangani pencerobohan hutan simpan kekal

Pemuda UMNO dan UMMAH sokong ketegasan Kerajaan Pahang tangani pencerobohan hutan simpan kekal

Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar

KUANTAN: Tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan Kerajaan Pahang bagi membanteras pekebun haram terus meneroka Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub, mendapat sokongan padu pelbagai pihak.

Rata-rata dalam kalangan mereka juga memuji keberanian anggota penguat kuasa yang tidak luntur semangat, meskipun berdepan provokasi melampau.

Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Farid Mohd Noor, berkata tindakan itu adil, terutama buat mereka yang mengusahakan tanah secara sah.

Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Farid Mohd Noor

“Berdasarkan kepada video yang tular baru-baru ini, Pemuda UMNO Pahang ingin menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kami kepada tindakan penguatkuasaan berkenaan yang pada pandangan kami sangat wajar dilaksanakan.

“Kami percaya, tindakan ini satu isyarat kepada mana-mana pihak yang meneroka tanah secara haram bahawa Kerajaan Pahang amat tegas,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Kelmarin, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menahan 18 individu disyaki pekebun berikutan menceroboh memasuki kawasan HSK Batu Talam di Raub.

Jabatan itu memaklumkan, individu terbabit juga membuat provokasi melampau terhadap anggota jabatan yang melakukan operasi penguatkuasaan.

Mengulas lanjut, Mohd Farid berkata, Pemuda UMNO Pahang menyeru semua ahli dan rakyat negeri ini untuk bersama Kerajaan Pahang mempertahankan hak rakyat.

Sementara itu, Ketua Gerakan Pembela Ummah Raub (UMMAH Raub), Mohd Shahrizan Md Esa menyatakan sokongan sama terhadap Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Kerajaan Pahang.

“UMMAH Raub juga amat menyokong tindakan penguatkuasaan JPNP bersama pasukan polis di kawasan HSK di Batu Talam, Raub, bagi memusnahkan tanaman durian secara haram itu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *