Sekolah, pelajar cemerlang SPM 2020 peroleh habuan RM114,000 hadiah Kerajaan Pahang

Sekolah, pelajar cemerlang SPM 2020 peroleh habuan RM114,000 hadiah Kerajaan Pahang

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar

KUANTAN: Kerajaan Pahang mengumumkan sumbangan Insentif Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 sebanyak RM114,000.

Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi mengiktiraf sekolah dan pelajar yang mencapai kejayaan cemerlang dalam SPM 2020.

“Sekolah di bawah KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) di negeri ini mencatatkan peningkatan Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 0.08 mata iaitu daripada 4.71 pada 2019 kepada 4.63 pada 2020, pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun.

“Seramai 290 orang calon mendapat semua A (A+/A/A-) bagi semua mata pelajaran yang diambil bersamaan 1.66 peratus sekali gus ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.13 peratus berbanding 2019.

Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail (tiga dari kiri) menyerahkan replika cekĀ  bernilai RM114K kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Pahang, Mohammad Rosli bin Abdul Rahman.

“Bagi menghargai pencapaian memberangsangkan ini, Kerajaan Pahang dengan kerjasama Yayasan Pahang, bersetuju memberi sumbangan sebanyak RM114,000 menerusi Insentif Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 kepada sekolah dan pelajar cemerlang dalam SPM 2020,” katanya, hari ini.

Sebanyak 10 sekolah mencapai prestasi tertinggi dari segi Gred Purata Sekolah (GPS) iaitu Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kuantan, Kuantan dengan GPS sebanyak 2.10 diikuti Sekolah Menengah Agama (SMA) Persekutuan Bentong, Bentong (2.14); Sekolah Menengah Sains (SMS) Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan (2.15); SMS Tengku Abdullah, Raub (2.19); SMA Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang, Jerantut (2.19) dan SMA Al-Maarif, Kuantan (2.20).

Seterusnya, SBPI Temerloh, Temerloh (2.23); Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sulaiman, Bentong (2.31); SMK Abdul Rahman Talib, Kuantan (2.34) dan Sekolah Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan (2.46).    

Peperiksaan SPM 2020 juga menyaksikan tujuh sekolah mencapai kategori sekolah GPS cemerlang iaitu GPS kurang daripada 2.25 mata, meningkat berbanding hanya lima sekolah pada SPM 2019. 

Sementara itu, seramai enam calon memperoleh semua A+ dalam setiap mata pelajaran diambil, meningkat berbanding lima calon pada 2019.

Mereka ialah Sarvesen Chithiramanaalan dari SMK Air Putih, Kuantan yang memperoleh 12A+ diikuti Kamelia Afieqah Khairul Azhan dari SBPU Tun Abdul Razak, Pekan (11A+); Foo Yong Xi dari SMK Hwa Lian, Temerloh (10A+); Mohamad Nur Iqmal Azhar dari SMK Alor Akar, Kuantan (9A+) dan Tan Yi Jing serta Iman Hadif Badrulnizam, kedua-duanya dari SMK Abdul Rahman Talib, Kuantan (masing-masing memperoleh 9A+).

Seramai 284 orang calon pula mendapat Gred A (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran diambil, meningkat berbanding 265 orang calon pada 2019.

Bagi calon berkeperluan khas, seramai 87 dalam pelbagai jenis keistimewaan menduduki peperiksaan dan 10 pelajar memeroleh keputusan cemerlang 5A ke atas.

Selain itu, seramai 602 calon daripada masyarakat Orang Asli menduduki SPM 2020 di seluruh Pahang dengan 31 calon atau 5.15 peratus mendapat sekurang-kurangnya 5A (A+/A/A-).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *