Terima kasih bantu anak Pahang capai gred terbaik SPM 2020, kata Menteri Besar

Terima kasih bantu anak Pahang capai gred terbaik SPM 2020, kata Menteri Besar

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar

KUANTAN: Meskipun berdepan suasana pembelajaran norma baharu berikutan penularan COVID-19, pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Pahang menunjukkan satu peningkatan cukup cemerlang.

Ini dibuktikan dengan peningkatan Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 0.08 mata iaitu daripada 4.71 pada 2019 kepada 4.63 pada 2020.

Ia adalah pencapaian paling baik yang diperoleh anak Pahang dalam tempoh lima tahun. 

Seramai 290 calon mendapat semua A (A+/A/A-) bagi semua mata pelajaran yang diambil bersamaan 1.66 peratus, sekali gus menunjukkan peningkatan kira-kira 0.13 peratus berbanding tahun sebelum ini.

Bagi kategori peratus Layak Mendapat Sijil (LMS), pencapaian calon menunjukkan peningkatan daripada 87.92 peratus pada 2019 kepada 89.83 peratus (2020), meningkat 0.42 peratus. 

Sebanyak 44 sekolah mencapai 100 peratus LMS iaitu bersamaan 22.80 peratus berbanding 38 sekolah atau bersamaan 19.79 peratus pada 2019.

SPM 2020 juga menyaksikan 41 daripada 66 mata pelajaran menunjukkan peningkatan. 

Lima mata pelajaran teras menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan iaitu Sejarah dengan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) meningkat daripada 4.98 kepada 4.74, Pendidikan Moral (4.78 kepada 4.59), Matematik (4.93 kepada 4.84), Pendidikan Islam (4.00 kepada 3.98) dan Bahasa Melayu (3.94 kepada 3.93).

Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pengurusan dan pelaksanaan SPM 2020 yang dijalankan pada tahun ini, menjadi sejarah kerana dijalankan dalam suasana norma baharu akibat pandemik COVID-19. 

Selain itu, katanya, sekolah juga harus menggunakan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) ketat seperti ditetapkan Lembaga Peperiksaan berdasarkan kebenaran yang dipersetujui Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Namun, uniknya di Pahang ini, pihak kerajaan negeri melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) mengambil langkah proaktif supaya kelompok bergejala ditempatkan berasingan supaya lebih selamat dan selesa bagi menduduki SPM 2020.

“Seramai 17,787 calon sekolah KPM mendaftar bagi menduduki peperiksaan SPM 2020 dan daripada jumlah itu, 17,446 calon mendudukinya atau sebanyak 98.08 peratus, meningkat 0.51 peratus berbanding 97.57 peratus pada 2019,” katanya.

Menurutnya, peningkatan itu menunjukkan keberkesanan usaha semua pihak iaitu ibu bapa, sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan pimpinan masyarakat bagi memastikan semua calon ini menduduki peperiksaan dengan rasa selamat dan sihat walaupun berdepan suasana pandemik COVID-19.

Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek bernilai RM114K kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Pahang, Mohammad Rosli bin Abdul Rahman.

“Tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang menjalankan tugas dan tanggung jawab khasnya kepada guru-guru tingkatan lima, pengetua-pengetua sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pegawai-pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), dan semua agensi serta organisasi bagi memastikan kejayaan anak-anak kita dalam peperiksaan ini.

“Penghargaan khas ditujukan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, nadi perhubungan kerajaan negeri dalam Pendidikan iaitu Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

“Selain itu, terima kasih juga buat Pejabat Pendidikan Daerah-daerah dan seluruh warga pendidik yang sentiasa menunjukkan keprihatinan kepada perkembangan pendidikan negeri ini.

“Tidak lupa pihak Yayasan Pahang yang memberikan kerjasama yang berterusan serta bantuan kewangan bagi menjayakan program-program strategik pendidikan. 

“Semua usaha di atas telah membolehkan pendidikan Pahang dipacu ke arah kecemerlangan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *