264 peniaga, pembantu Pasar Besar Kuantan diminta membuat ujian saringan COVID-19

264 peniaga, pembantu Pasar Besar Kuantan diminta membuat ujian saringan COVID-19

Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Seramai 264 daripada 492 peniaga dan pembantu di Pasar Besar Kuantan, di sini yang belum melakukan ujian saringan COVID-19 diminta berbuat demikian, esok.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Norkamawati Kamal berkata, ujian itu perlu dilakukan seperti diarahkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan.

Sehubungan itu, katanya, MBK meminta peniaga dan pembantu Pasar Besar Kuantan untuk hadir ke Terminal Sentral Kuantan (TSK), di sini  bagi menjalani ujian saringan COVID-19 secara pandu lalu.

“Tempoh masa ditetapkan bermula jam 8 pagi hingga 12.30 tengah hari. Setakat ini seramai 228 orang daripada mereka sudah melakukan saringan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kerjasama itu bagi mengekang penularan jangkitan dalam kalangan warga tempatan yang dilihat semakin meningkat dan memberi ancaman kepada kesejahteraan awam ketika ini.

Tegasnya, Pasar Besar Kuantan tidak dibenarkan beroperasi sehingga semua kontak menjalani saringan itu.

“Larangan beroperasi pastinya menyukarkan warga Kuantan untuk mendapatkan bekalan bahan mentah. Oleh itu, 264 individu diminta berbuat demkian esok.

“Kegagalan menghadirkan diri menjalani ujian saringan ini akan membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Ends/tony

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *