Janji Kerajaan Pahang

Janji Kerajaan Pahang

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar

KUANTAN: Kerajaan Pahang akan bertindak segera bagi merealisasikan Inisiatif Sempadan Hijau Negeri Pahang dan Kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini.

Ini selaras dengan titah KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam.

Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata ia termasuk membuat segala urusan perlu ke arah mewartakan sebahagian besar kawasan sempadan negeri sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK). 

Beliau berkata, kawasan yang meliputi tanah milik pula dibangunkan secara lestari selaras dengan konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus. 

“Kerajaan negeri menjunjung tinggi titah KDYMM Pemangku Raja Pahang mengenai Inisiatif Sempadan Hijau Negeri Pahang dan Kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini. 

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

“Titah baginda amat wajar dan tepat sekali yang membuktikan keprihatinan baginda untuk memastikan alam sekitar Pahang termasuk di kawasan sempadan dengan negeri jiran, terus terpelihara. 

“Kerajaan negeri juga sedang dalam proses menubuhkan Majlis Biodiversiti Negeri Pahang.

“Majlis ini antara lain untuk memastikan kepelbagaian hidupan biologi sentiasa terpelihara di negeri ini, Insya-Allah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.  

Semalam, Tengku Hassanal Ibrahim meminta Kerajaan Pahang meneliti Inisiatif Sempadan Hijau Pahang membabitkan kawasan sempadan negeri merangkumi keluasan 54,350 hektar.

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Dato’ Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, baginda mahu sebahagian besar kawasan itu diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) manakala kawasan tanah milik pula dibangunkan secara lestari selaras konsep Alam Sekitar-Sosial-Tadbir Urus (ESG).

Katanya, baginda turut bertitah agar kawasan itu dijadikan kawasan perlindungan bagi hidupan liar, flora dan fauna sepenuhnya di samping menyelar aktiviti pemburuan haram di Pahang.

Ahmad Khirrizal berkata, titah baginda, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) perlu menjalankan penguatkuasaan lebih tegas bagi melindungi hidupan liar di negeri ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *