Keadaan di Raub tenteram, Operasi Pamah lancar

Keadaan di Raub tenteram, Operasi Pamah lancar

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

BENTONG: Operasi memusnahkan pokok durian dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub, kini lancar dan terkawal tanpa ada lagi provokasi daripada mana-mana pihak.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Dato’ Mohd Yusri Hassan Basri berkata, keadaan di Raub tenteram.

Menurutnya, keselamatan anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) adalah terjamin.

“Saya sendiri ke Raub untuk melihat keadaan sekitar bandar, kawasan mahkamah dan kawasan operasi. Ia dalam keadaan baik dan tenteram. 

“Keselamatan petugas terjamin,” katanya pada Program Ops Bantu di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong, di sini, semalam.

RAUB …rumah tempat tinggal pekebun 
dalam Hutan Simpan Batu Talam disita oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) pada Operasi Pamah.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar.

Operasi Pamah untuk memusnahkan pokok durian Musang King di kawasan Hutan Simpan Batu Talam seluas 101 hektar dimulakan pada 3 Julai sehingga 2 Ogos depan.

Bagaimanapun, operasi pada hari kedua dan ketiga terganggu berikutan provokasi sekumpulan individu dipercayai pekebun durian sebelum Pasukan Gerakan Am (PGA) ditempatkan bagi mengawal operasi itu. 

RAUB …anggota Unit Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) turut terbabit 
pada Operasi Pamah dslam Hutan Simpan Batu Talam.

Katanya, kira-kira 60 anggota PGA melakukan pemantauan bersama polis termasuklah di dua Sekatan Jalan Raya (SJR) 24 jam di kawasan jalan masuk utama ke kawasan operasi berkenaan.

Sementara itu Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, sehingga ini, lebih 52 hektar kawasan hutan simpan yang ditanam durian berkenaan dimusnahkan. 

Menurutnya, lebih ramai lagi kakitangan JPNP akan dikerah untuk menjalankan aktiviti menebang pokok.

“Kita ingin memastikan Operasi Pamah ini dapat diselesaikan lebih awal daripada yang dirancang sebelum kerja menanam semula pokok hutan dilakukan.

“Hampir semua kakitangan pejabat hutan daerah di negeri ini kini turut sama membantu bagi melancarkan operasi terbabit,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *