Mahkamah Syariah di Pahang dibenarkan kembali beroperasi mulai 16 Julai

Mahkamah Syariah di Pahang dibenarkan kembali beroperasi mulai 16 Julai

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar Zulkepli Osman

TEMERLOH: Kerajaan Pahang membenarkan Mahkamah Syariah di seluruh negeri ini kembali bersidang bermula tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 yang berkuatkuasa 16 Julai ini.   

Untuk rekod, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP 3.0 sebelum ini menyebabkan mahkamah syariah di Pahang tidak dapat beroperasi seperti biasa sekali gus menyebabkan banyak kes tertangguh selain memeri kesan kepada pihak terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, langkah itu diambil bagi memastikan keadilan kepada pihak terbabit dalam kes perbicaraan syariah di negeri ini.

“Antara implikasi yang berlaku akibat kekangan itu termasuklah kes tertunggak sedia ada di mahkamah syariah semakin bertambah dan menyebabkan tempoh penyelesaian mengambil masa lebih lama.

“Hak pihak yang bertikai tidak dapat dipelihara dan prinsip keadilan yang menjadi asas dalam institusi kehakiman syariah tidak dapat ditegakkan.

“Pihak-pihak yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga juga tidak mendapat perlindungan dan menuntut hak yang sewajarnya daripada mahkamah, manakala pihak yang mengalami tekanan akibat masalah rumah tangga tidak dapat membuat permohonan perceraian atau pembubaran perkahwinan sekali gus boleh memudaratkan mereka,” katanya selepas  merasmikan ‘food bank’ di Masjid Al-Taqwa Kampung Gajah Mati di sini, hari ini.

TEMERLOH  9 Julai 2021. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan bantuan RM10,000  Kerajaan Pahang kepada Pengerusi  Masjid Al Taqwa Kampung Gajah Mati, Kuala Tekal, Temerloh, Jamaluddin Ghani.

Menurutnya, antara kes yang akan dibuka menerusi pengoperasian ini ialah kes tertunggak sedia ada di mahkamah syariah termasuklah faraid, mal dan jenayah syariah.

“Jumlah keseluruhan peratusan kes selesai bagi 1 Januari hingga Jun tahun ini adalah sebanyak 1,175 daripada 1,967 kes mal didaftarkan (59.7 peratus), 174 daripada 209 kes faraid (83.2 peratus) dan 113 daripada 331 kes jenayah syariah (40.1 peratus).

“Untuk tahun lalu iaitu bermula 1 Januari hingga 31 Disember, sebanyak 4,610 daripada 5,670  (81.3 peratus)  kes mal yang diselesaikan, 744 daripada 773 kes faraid (96.2 peratus) dan 594 daripada 979 ke jenayah syariah (60.6 peratus),” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *