Tauke stesen pam minyak kongsi rezeki dengan golongan memerlukan

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: “Rezeki yang saya dapat setiap hari perlu dikongsikan dengan golongan memerlukan.

“Mereka yang terkesan boleh datang ke tiga premis saya untuk mengambil keperluan asas setiap hari,” kata Pengarah Urusan Tanjak Kencana Sdn Bhd, Datuk Amadaldin Hamzah.

KUANTAN ..barangan keperluan asas disediakan pihak pengurusan stesen minyak Shell Beserah untuk golongan memerlukan di kawasan terbabit.

Menurutnya, beras, tepung, gula, minyak masak, telur, sardin, bihun dan pek nasi ayam disediakan kepada penduduk setempat bagi meringankan beban mereka yang kehilangan sumber pendapatan.

Katanya, program foodbank bermula pada 3 Julai lalu, akan diteruskan sehingga keadaan memerlukan. 

KUANTAN..penduduk setempat boleh datang mengambil barangan keperluan asas disediakan pihak pengurusan stesen minyak Shell Beserah setiap hari.

Menurutnya, setiap hari lebih 150 barangan bantuan boleh diambil oleh mereka yang memerlukan di tiga premis di daerah ini.

“Tiga tempat foodbank kami adalah di stesen minyak Shell Batu Tiga, Shell Batu Lapan dan Shell Beserah. Penyediaan barangan bantuan bermula 10 pagi hingga selesai.

“Keutamaan diberikan kepada penduduk setempat. Sebagai contoh di Beserah ramai nelayan dan pendapatan mereka terjejas sepanjang PKP 3.0,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, idea menyediakan foodbank di tiga premisnya dicetuskan oleh kakitangan di setiap premis.

Amadaldin berkata, sebelum ini pihak turut mengagihkan pek nasi ayam kepada jamaah masjid, petugas di sekatan jalan raya (SJR), pusat kuarantin dan balai polis.

“Sumbangan pek nasi ayam juga diberikan kepada pesakit di hospital dan pusat tahfiz. Bantuan diharap dapat meringankan beban pihak pengurusan tempat terbabit,” katanya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *