Tiada jentera berat diguna JPNP untuk musnahkan ‘durian haram’

Tiada jentera berat diguna JPNP untuk musnahkan ‘durian haram’

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Gambar Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) tidak bercadang menggunakan jentera berat untuk memusnahkan pokok durian yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub.

Katanya, penggunaan jentera berat terutama jentolak boleh menyebabkan kerosakan pada tanah di kawasan terbabit yang berteres serta lembut.

Tambahnya, tanah di kawasan terbabit juga akan menjadi lebih padat dan keras sekiranya jentera berat digunakan dan ia boleh menjejaskan pembesaran pokok hutan yang akan ditanam selepas ini.

“Lebih baik kita guna kaedah menebang pokok durian itu kerana ia lebih cepat dan selamat selain dapat menjimatkan kos.

“Kepakaran menebang yang ada dalam kalangan kakitangan JPNP dan kelengkapan peralatan dapat melancarkan lagi Operasi Pamah ini,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, dalam Operasi Pamah yang memasuki hari kelapan hari ini, JPNP memusnakan lebih 85 hektar kawasan kebun durian Musang King dan beliau menjangkakan semua aktiviti menebang selesai dilakukan minggu depan.

“Tugas kita (JPNP) seterusnya selepas ini ialah menghijaukan semula kawasan terbabit dengan pelbagai spesies pokok yang sesuai di situ, antaranya Meranti Temak Nipis.

“Program menanam  dikendalikan Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat, Rotan Tunggal, di sini dan membabitkan beberapa fasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya tidak pernah menerima arahan untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak supaya menghentikan Operasi Pamah.

“Sekiranya kerajaan negeri mengarahkan rundingan diadakan, kita akan berunding namun setakat ini tidak ada (arahan) diterima.

“Justeru, Operasi Pamah membabitkan kawasan seluas 101 hektar kini diteruskan yang memasuki hari kelapan hari ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *