321 kes baharu COVID-19 di Pahang

321 kes baharu COVID-19 di Pahang

Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Pahang mencatatkan sebanyak 321 kes baharu jangkitan COVID-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan di negeri ini meningkat kepada 16,783 kes.

Pengarah Kesihatan Pahang, Dato’ Dr. Bahari Tok Muda Che Awang Ngah berkata, sebanyak 266 kes terdiri daripada rakyat tempatan manakala selebihnya warga asing.

“Sebanyak 10 daerah mencatatkan pertambahan kes dan Kuantan masih lagi tertinggi iaitu 173 kes, diikuti Bentong (63 kes), Temerloh (27 kes), Maran (18 kes), Lipis (14 kes), Rompin (sembilan kes), Cameron Highlands (enam kes), Raub dan Pekan masing-masing empat kes dan Bera (tiga kes). 

“Dukacita dimaklumkan bahawa terdapat tiga kes kematian baharu dilaporkan ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian di Pahang meningkat kepada 181 kes.

“Kes ke-179 membabitkan lelaki berusia 46 tahun dari Felda Jengka 14, Maran yang mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga manakala Kes ke-180 pula, lelaki 57 tahun dari Taman Bukit Goh, Kuantan. 

“Kes ke-181 adalah lelaki warga emas berusia 71 tahun dari Peramu Maju, Kuantan yang mempunyai kaitan dengan Kluster Pasar Kemunting,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sebanyak lapan daerah berada dalam zon merah iaitu Bentong, Bera, Jerantut, Kuantan, Maran, Pekan, Lipis dan Temerloh manakala Cameron Highlands, Rompin dan Raub berada di zon oren. 

“Sehingga jam 12 tengah hari tadi, sejumlah 2,185 kes positif COVID-19 sedang dirawat di lapan hospital di negeri Pahang dan tujuh Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

“Sebanyak 277 kes berada dalam pengawasan di rumah yang mana terdapat 30 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 19 kes di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan 11 kes di ICU Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh dengan 17 kes memerlukan bantuan mesin pernafasan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *