Kontraktor degil terima padah

Kontraktor degil terima padah

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

PEKAN: Kedegilan kontraktor pembinaan sebuah kilang di Paloh Hinai yang tetap menjalankan operasi meskipun diarahkan untuk tidak berbuat demikian sejak sebulan lalu, membawa padah apabila syarikat itu dan pekerja mereka menerima 11 kompaun atas pelbagai kesalahan.

Kompaun itu dikeluarkan enam agensi yang melakukan operasi bersepadu diketuai Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Pahang di tapak pembinaan berkenaan, hari ini. 

Pengurus CIDB Pahang, Shahril Mohd Poad berkata, pihaknya sebelum ini mengeluarkan notis penutupan operasi pembinaan kilang terbabit pada 13 Jun lalu kerana tiada kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Bagaimanapun, pemantauan kami mendapati, kerja-kerja pembinaan tetap berjalan seperti biasa dan kita terpaksa melaksanakan operasi bersepadu hari ini,” katanya kepada media selepas operasi tamat.

Operasi hari ini turut disertai Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaa (JKKP) Pahang, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pahang dan Unit Penguatkuasaaan Kerajaan Pahang.

Mengulas lanjut, Shahril berkata, dalam operasi itu, pihaknya mendapati kontraktor terbabit masih gagal mengemukakan surat kelulusan MITI selain beberapa kesalahan lain.

“Kita sekali lagi mengeluarkan notis penutupan selain lapan notis arahan hadir kepada kontraktor utama dan subkontraktor serta notis minta maklumat oleh pihak CIDB.

“JKKP mengeluarkan dua notis iaitu notis penggunaan perancah sebagai platform kerja dan notis pembersihan, JTK mengeluarkan notis kesalahan tiada perakuan penginapan pekerja dan JKNP mengeluarkan kompaun kerana tiada kelulusan beroperasi.

“Beberapa pekerja turut dikenakan kompaun kerana gagal mengimbas MySejahtera serta tidak memakai pelitup muka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini sebanyak lapan tapak pembinaan di negeri inidiarah menghentikan operasi kerana beroperasi tanpa kelulusan dan melakukan kesalahan lain.

“Kebanyakan projek pembinaan di negeri ini tidak beroperasi selain yang terbabit dengan kerja kritikal antaranya projek ECRL (Laluan Rel Pantai Timur), projek penyelenggaraan jalan raya dan kerja membabitkan elektrik atau di premis kritikal seperti hospital dan jabatan kerajaan yang kaitan pematuhan SOP (prosedur operasi standard),” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *