Seramai 241 mangsa banjir kilat di Raub terpaksa huni tujuh PPS

Seramai 241 mangsa banjir kilat di Raub terpaksa huni tujuh PPS

RTP online

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Gambar ihsan JKM

RAUB: Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Raub akibat hujan lebat sejak malam Isnin, menyebabkan seramai 241 mangsa daripada 64 keluarga terpaksa ‘menginap’ di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini.

RAUB..Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin menyampai bantuan kepada mangsa banjir di PPS SK Ulu Sungai.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, tujuh PPS terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Sungai, Masjid Kampung Kuala Semantan, SK Kundang Patah dan Balairaya Kampung Sengkela.

Beliau berkata, turut dijadikan PPS ialah Dewan Serbaguna Kampung Pia, Balairaya Kampung Gesing dan Dewan Orang Ramai Kampung Chenua. Semua PPS terbabit mula dibuka semalam selepas banjir melanda kawasan terbabit.

RAUB..Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Dato’ Abd Aziz Mat Kiram menyampai bantuan kepada mangsa banjir di PPS SK Ulu Sungai.

Katanya, PPS Kundang Patah menempatkan mangsa banjir teramai iaitu 114 orang diikuti PPS Dewan Serbaguna Kampung Pia (58), SK) Ulu Sungai (37), Masjid Kampung Kuala Semantan (16) sementara PPS lain menempatkan antara lima hingga enam mangsa.

“Kita sudahpun mengagihkan bantuan antaranya toto, selimut, tuala, kain batik serta pelikat. Turut diberikan kepada setiap ketua keluarga mangsa banjir, kit bencana mengandungi sabun, ubat gigi, berus gigi dan beberapa barangan keperluan.

“Semalam ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Batu Talam, Dato’ Abd Aziz Mat Kiram melawat mangsa di tujuh PPS dan menyampaikan sumbangan wang tunai,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, pihak urusetia PPS sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Jawatankuasa PPS yang dianggotai beberapa agensi antaranya Angkatan Pertahanan Awam (APM), bomba, Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK)

dan sukarelawan JKM bergotong-royong menyediakan makanan kepada mangsa.

“Banjir kini semakin surut namun cuaca masih lagi tidak menentu. PPS hanya akan ditutup apabila keadaan mengizinkan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *