Kebun haram Musang King dalam kawasan tadahan air

Kebun haram Musang King dalam kawasan tadahan air

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

RAUB: Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam yang dijadikan kebun durian Musang King secara haram adalah kawasan tadahan air yang menjadi sumber air penduduk daerah ini.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub, Shahril Mohamad, berkata HSK Batu Talam seluas 62,070 hektar itu diwartakan sebagai kawasan hutan tadahan air pada 2002.

Oleh itu, katanya, sebarang aktiviti tidak dibenarkan dilakukan dalam HSK dan sesiapa sahaja ingin memasukinya perlu memiliki permit dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

“Kepentingan mengekalkan kawasan tadahan air perlu diberi perhatian serius kerana ia membabitkan sumber air untuk kegunaan masyarakat,” katanya. 

Beliau berkata, Hutan Simpan Kekal Batu Talam membekalkan air kepada Sungai Sempam yang mengalir bertemu Sungai Liang dan membentuk Sungai Semantan. 

Katanya, sumber air sungai berkenaan kemudian diproses di logi Semantan untuk kegunaan penduduk. 

Shahril berkata, Raub memiliki tujuh hutan simpan kekal yang diwartakan sebagai kawasan hutan tadahan air dan antaranya HSK Batu Talam, HSK Gunung Benom, HSK Teranum, HSK Sungai Sia, HSK Rotan Tunggal dan HSK Bukit Kajang.

“Dalam enam bulan pertama tahun ini, kita sudah mengadakan dua operasi musnah, tidak termasuk Operasi Pamah yang sedang berjalan sekarang di HSK Batu Talam.

“Kegiatan menceroboh HSK lebih tertumpu pada aktiviti pertanian. Antara tanamannya pula adalah Musang King, pisang dan beberapa jenis tanaman kontan lain,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *