Anak, cucu teman warga emas suntik vaksin

Anak, cucu teman warga emas suntik vaksin

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

MARAN: Lima puluh tiga Orang Asli Kampung Merbau menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Sinovac pada Program Outreach Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK), di sini semalam.

Selain itu, dua ratus penduduk Melayu dari beberapa kampung tradisional di daerah in turut menerima suntikan vaksin pada program yang bermula pada kira-kira 9 pagi. 

Warga emas Orang Asli, Minah Suri, 72 berkata dia gembira selepas menerima suntikan yang disediakan kerajaan. 

MARAN… masyarakat Orang Asli mendaftar sebelum menerima suntikan vaksin COVID-19 pada Program Outreach Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Kampung Orang Asli Merbau.

“Saya dua beranak dan seorang cucu menerima suntikan vaksin. Kami menerima suntikan dalam bas yang berhawa dingin sambil dilayan dengan baik oleh jururawat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Program Outreach MOVAK anjuran 

Ahli Parlimen Maran yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Dato’ Seri Dr Ismail Abd Muttalib, di Kampung Orang Asli Merbau. 

Minah berkata, dia ditemani anaknya, Nornie Mala Omar, 50, dan cucunya, Wanisa Tangih, 20, dan mendaftar dengan urusetia pada 11.30 pagi serta selesai menerima suntikan setengah jam kemudian. 

Katanya, perasaan bimbang untuk menerima suntikan memang terasa kerana dia mengidap beberapa penyakit termasuk semput namun selepas mendapat nasihat doktor dan jururawat keyakinan mula terpahat di hati.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Merbau, Aziz Muhamad, 50 berkata terdapat hanya 53 penduduk daripada lebih 250 Orang Asli Kampung Orang Asli Merbau setuju menerima suntikan. 

“Saya akan berusaha menasihati mereka yang belum menerima suntikan vaksin supaya dapat menerimanya,” katanya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *