Lelaki kena cekup buang kulit durian

Lelaki kena cekup buang kulit durian

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Lelaki berumur 40-an ditahan ketika sedang leka membuang kulit durian di jalan persendirian dekat perkuburan Sempam di Cheroh, Raub, semalam.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid berkata, lelaki itu ditahan oleh sepasukan penguatkuasa SWCorp Raub, pada kira-kira 3 petang.

KUANTAN. Sisa kulit durian yang dibuang di jalan persendirian dekat perkuburan Sempam di Cheroh, Raub.

Katanya, penahanan lelaki terbabit hasil daripada maklumat awam dan risikan yang dijalankan sepasukan penguat kuasa SWCorp Raub.

“Ketika ditahan, suspek memberi kerjasama dan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 71 (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

“Kesalahan yang dilakukan ialah melongokkan dan melupuskan kulit durian di tempat yang tidak dibenarkan di kawasan persendirian bersebelahan perkuburan Sempam.

“Dalam kes ini, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sharudin berkata, siasatan awal mendapati kira-kira satu tan kulit durian dibuang di kawasan terbabit yang dipercayai turut dilakukan individu lain. 

Katanya, dengan tindakan yang dikenakan terhadap suspek itu diharap memberi pengajaran kepada individu lain untuk tidak melakukan perbuatan sama.

“Kita juga meminta kerjasama orang ramai yang melihat perbuatan terbabit supaya melaporkan kepada SWCorp untuk tindakan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *