Mulia hati bapa tunggal sedekahkan semula bantuan diterima

Mulia hati bapa tunggal sedekahkan semula bantuan diterima

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KUANTAN: Menerima bantuan keperluan asas lebih 12 set dalam satu masa oleh seorang bapa tunggal antara kes dikesan Sekretariat Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang (MAKPEN), minggu lalu.

    Setiausaha Kehormat MAKPEN, Salamon Ali Rizal Abdul Rahman, berkata bantuan prihatin berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 itu diberikan kepada lelaki itu oleh pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membantu individu terbabit.

KUANTAN..Bantuan keperluan asas yang diterima seorang bapa tunggal diagihkan semula kepada golongan memerlukan oleh Sekretariat MAKPEN.

    Katanya, selain beras pelbagai barangan keperluan asas lain seperti bihun, gula, tepung, minyak masak, biskut dan sardin diterima lelaki terbabit yang menetap di taman perumahan di daerah ini.

    Menurutnya, disebabkan kehilangan sumber pendapatan selepas tidak dapat bekerja sebagai penjual air membuatkan banyak pihak tampil menghulurkan bantuan untuknya sekeluarga.

    “Lelaki terbabit mempunyai tiga anak, seorang daripadanya menghidap penyakit saraf kronik manakala seorang lagi sindrom down. Mereka menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang.

    “Disebabkan terlalu banyak menerima bantuan lelaki terbabit mengambil keputusan menyumbangkan semula kepada MAKPEN untuk diberikan kepada golongan memerlukan,” katanya. 

    Beliau berkata, tindakan yang dilakukan lelaki berusia 54 tahun seharusnya menjadi contoh pada pihak lain, bantuan  yang diterima hingga berlebihan disumbangkan semula kepada individu lain.

    Salamon Ali Rizal berkata, antara faktor terlalu banyak bantuan diterima lelaki terbabit ialah apabila penyumbang menghantar bantuan tanpa pengetahuan lelaki itu dan mereka bertindak meletakan barangan dalam pagar rumahnya. 

    “Sekretariat MAKPEN berharap mereka yang memerlukan bantuan menghubungi kita di 0139314004,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *