Tiada rentas daerah, negeri untuk Aidiladha

Tiada rentas daerah, negeri untuk Aidiladha

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang,com.my

KUANTAN: Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakub, menjelaskan bahawa rentas daerah dan negeri sama ada dalam fasa satu dan dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) masih tidak dibenarkan.

Justeru, beliau berkata, rakyat diingatkan tidak mencuba untuk mernetas daerah dan negeri terutama untuk menyambut Aidiladha.

Katanya, rakyat sepatutnya mengambil iktibar daripada kes penularan wabak COVID-19 selepas sambutan Aidilfitri lalu.

KUANTAN 16 JULAI 2021. Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Besar Pahang, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail ketika membuat lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah. PPV ini mula beroperasi sejak isnin lalu bagi mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada penerima. FIKRAH PAHANG / HAFIZ AWANG

“Ramai yang curi-curi balik, ikut lorong tikus dan kalau kita lihat, kes rentas negeri, kluster rentas negeri memuncak selepas itu.

“Seperti kes di Terengganu misalnya, seluruh keluarga dijangkiti dan ada yang meninggal dunia. Di Kelantan pun ada kes yang sama.

“Oleh itu, saya harap ia menjadi iktibar kepada kita walaupun kita pandai nak lari daripada sekatan polis untuk balik ke kampung. Saya dah katakan, kita boleh lepas daripada sekatan polis tapi tak lepas daripada jangkitan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.  Hadir sama, Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Justeru, beliau yang juga Menteri Pertahanan meminta rakyat bersabar dan memberi jaminan semua aktiviti merentas negeri dan daerah akan dibenarkan sebaik sahaja sasaran imuniti kelompok dicapai dan seluruh negara memasuki fasa tiga dan fasa empat PPN.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *