Lebih 8,000 pokok sudah ditanam di HSK Batu Talam

Lebih 8,000 pokok sudah ditanam di HSK Batu Talam

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

RAUB: Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat kini menjalankan kerja menanam pokok tanpa henti di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam yang sebelum itu dijadikan kebun durian Musang King secara haram.

Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Wan Ghazali Wan Ali, berkata lebih 8,000 pokok sudah ditanam sepanjang seminggu lalu.

RAUB….kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menanam pokok di Hutan Simpan Kekal Batu Talam.

Menurutnya, antara 60 hingga 75 kakitangan JPNP menjalankan kerja menanam setiap hari dan mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan. 

Katanya, disebabkan kenderaan pacuan empat roda sukar untuk sampai ke kawasan bukit, aktiviti memindahkan anak pokok terpaksa dilakukan menggunakan bakul raga yang diubah suai untuk digalas.

“Program menanam pokok hutan terdiri daripada jenis Merawan, Meranti, Balau, Keruing dan beberapa spesies lain dilakukan tanpa henti hingga selesai. Kira-kira 20,000 pokok akan ditanam dalam kawasan seluas 101 hektar.

“Tugas menanam pokok kini dilakukan secara bergilir membabitkan semua Pejabat Hutan Daerah (PHD) di negeri ini,” katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan berusaha secepat mungkin untuk selesaikan kerja menanam pokok hutan di kawasan terbabit ini kerana jabatan tidak boleh melengahkan kerja berkenaan bagi mengelak kejadian hakisan dan pencemaran sumber air.

“Bagaimanapun, keadaan cuaca yang tidak menentu di daerah ini terutama berlaku hujan hampir setiap petang menjejaskan aktiviti menanam pokok,” katanya yang turut menyertai program menanam itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *