Pahang rekod kes kematian tertinggi sejak COVID-19 melanda

Pahang rekod kes kematian tertinggi sejak COVID-19 melanda

Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Pahang merekodkan 12 kes kematian baharu, tertinggi di negeri ini sejak penularan COVID-19.

Pengarah Kesihatan negeri, Dato’ Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah berkata, jumlah itu menjadikan bilangan keseluruhan kes kematian di negeri ini mencecah 201 kes.

“Kes kematian hari ini membabitkan individu berusia antara 25 tahun hingga 87 tahun dengan jumlah kumulatif kematian di Pahang kini sebanyak 201 kes,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 317 kes jangkitan baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes mencecah ke angka 18,104 kes. 

“Daripada jumlah kes didaftarkan hari ini, sebanyak 311 kes membabitkan rakyat tempatan dan enam warga asing,” katanya.

Menurutnya, semua daerah mencatatkan pertambahan kes iaitu Kuantan sebanyak 146 kes, diikuti Temerloh (34 kes), Bera (32 kes), Bentong (31 kes), Pekan dan  Lipis masing-masing 22 kes.

“Selain itu, Maran (15 kes), Cameron Highlands (8 kes), Jerantut (5 kes) dan masing-masing satu kes di Raub dan Rompin,” katanya.

Katanya lagi, terdapat satu kluster baharu dilaporkan pada hari ini iaitu Kluster Rantau Melor di Jerantut yang mula dilaporkan pada 17 Julai lalu.

“Kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang wanita rakyat tempatan yang mula mengalami gejala demam, batuk dan sakit tekak pada 10 Julai lalu.

“Wanita berkenaan pergi mendapatkan rawatan di klinik kesihatan pada 13 Julai lalu serta melakukan ujian COVID-19 dan disahkan positif pada 16 Julai lalu,” katanya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *